Cabaran 6: Tengok Wayang
Ulasan filem juga antara bentuk entri yang popular di blog. Pilih satu filem tempatan tahun 2005. Tulis pendapat kamu tentang filem itu.
Mulakan entri dengan sekeping gambar yang berkaitan.
Batu Buruk

ROCK! Zaman seluar sendat. Rambut kilat ber’Poken’. Skaf emak ikat di lutut. Jalan lompat gagak. Kasut gemuk berderap. Itu zaman kegemilangan aku. Jangan nak tipu kalau nak buat cerita zaman aku.
Aku akui. Aku bukan kaki wayang. Aku bukan pencinta filem Melayu. Aku tak suka menonton aksi pelakon Melayu di layar perak. Aku lebih suka menonton aksi pelakon Melayu di layar nyata. Pelakon opera hidup.
Aku tulis kerana tugasan. Aku tulis gaya aku. Apa yang aku lihat, dengar dan rasa. Aku tonton Rock bukan di panggung. Bukan dari VCD cap tengkorak. Tapi VCD, Video-Copy-Download. Aku bukan pencinta filem Melayu.
Aku berusaha menonton dalam terpaksa. Aku rasa aku akan banyak mengutuk dari memuji. Maafkan aku.
Rimba Bara, sebuah kumpulan muzik Rock dari Trong, Taiping. Bercita-cita tinggi menjadi terkenal separas Search. Seluruh penduduk Trong bertutur di dalam bahasa yang sama dengan penduduk Kuala Lumpur kecuali dua orang penumpang bas yang agak kolot penampilannya. Rockers Trong tak berbahasa ‘gua’ dan ‘lu’.
Jijo, mentor utama yang sering menaikkan semangat ahli kumpulan. Aku suka dialognya yang mempunyai akhiran bunyi ‘hann’ yang disengaukan.
Zack, gitaris utama. Aset terpenting bagi sesebuah kumpulan Rock. Berlatih bersama burung Belatuk yang saiz badannya sering berubah-ubah. Simbolik watak Melayu Pandir yang hanya tahu menurut tanpa menilai.
Kathy, watak gadis belia teman wanita Zack. Lagu Keunggulan Cinta menjadi irama tema percintaan mereka. Aku terpaksa menonton persembahan Rimba Bara menyampaikan lagu ini sehingga habis.
Amy, penyanyi utama bernada tinggi. Amy adalah Rockers Glam-Rock unggul, tapi sayang wataknya mati dipertengahan jalan. Black, pemain dram yang sangat sengau dan berfungsi hanya untuk mencuit pinggang penonton yang bosan.
Pertandingan dibuat di Dewan Hokkien yang sarat bertanglung. Satu lagi unsur simbolik yang aku rasa ramai yang tak peduli apakah maksud disebaliknya.
Ringkas cerita, Zack perlu membuat keputusan antara minat dan kerjaya. Ayah tak suka sehingga tongkat kayu patah tiga. Awek hampir berubah hati. Ada unsur suka, ada unsur duka. Aku tak suka filem Melayu.
Rock ada suntikan filem Forrest Gump dan Rockstar. Aku suka keduanya. Garapan naratif ringkas dan pantas. Penceritaan mudah, lakonan mantap. Emosi penonton dibuai antara suka dan duka. Aku suka filem sebegitu. Aku tak suka filem Melayu.
Aku benci filem ringan yang diberatkan. Mainan simbolik yang terlampau. Siapa sasaran penonton? Siapa yang bakal menonton? Mereka yang ingin berfikir atau mereka yang enggan berfikir.
Aku lebih suka penceritaan mudah yang menyorot kegemilangan zaman rock kapak kangkang 20 tahun yang lalu. Aku mahu sebuah cerita yang menyusur kehidupan seorang Rockers yang sering dipandang hina masyarakat. Kutu haprak yang akhirnya mampu berdiri megah.
Aku impikan sebuah cerita yang mampu membuka mata dan minda bahawa apa sahaja yang diidamkan pasti menjadi kenyataan sekiranya tekun berusaha tanpa mengenal erti jemu. Aku ada cerita itu kerana aku pernah menjadi pelakonnya.
450 patah perkataan tak termasuk tajuk.
Aku ada keperluan. Aku ada kemahuan. Aku perlu itu. Aku mahu ini. Aku perlu. Aku mahu. Persoalan yang sering bermain di fikiran. Akal dan nafsu saling bercakaran. Antara mahu dan perlu.
Aku perlu bergerak. Aku mahu bergerak. Aku perlu kenderaan. Aku mahukan kenderaan. Keperluan aku ialah bergerak dari titik A hingga titik B. Boleh berlindung dari sejuknya hujan dan dentumnya guruh.
Akal kata ambil sahaja kereta yang murah. Boleh bergerak dari satu titik ke satu titik. Minyak murah. Barang ganti mudah.
Nafsu kata ambil kereta besar, selesa dan bergaya. Boleh menunjuk-nunjuk. Boleh bergerak dari satu titik ke satu titik. Minyak mahal. Barang ganti harga berganda.
Aku masih belum ada kata putus. Akal dan nafsu masih bercakar. Aku masih lagi naik kuda.
Aku perlu tempat berteduh. Aku perlu tempat berlindung. Aku perlu rumah. Aku perlu bumbung yang melindung. Dinding yang memisah. Kediaman yang boleh didiami.
Akal kata cukup setakat rumah berbilik tiga. Selesa selagi penghuni masih minima. Laman depan hanya sekangkang kera.
Nafsu kata biar papa asal bergaya. Hidup hanya sekali cuma. Belilah ruma sebesar-besarnya. Berhutanglah selagi terdaya. Ada bilik lima dan tanah sekangkang kera sekampung.
Aku masih belum ada kata putus. Akal dan nafsu masih bercakar. Yang pasti menanti, rumah kecil bertiang dua.
Aku perlu makan. Aku mahu mengisi perut. Aku suka nikmat deria rasa. Aku mahu makan apa yang aku suka.
Akal kata makan perlu seimbang. Zat zahir perlu cukup. Zat batin perlu halal. Makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang. Berbelanja sekadar perlu.
Nafsu kata makan apa sahaja. Kenyang itu hanya isyarat minda. Perut masih boleh diisi. Makan semuanya. Ada berjuta juadah di dunia. Semuanya ada rasa istimewa. Lagi mahal sudah tentu lagi sedap.
Ada masanya aku keliru membuat kata putus. Akal dan nafsu masih bercakar. Aku lebih suka masak. Menu mudah lagi berkhasiat. Terjamin zat zahir dan batin.
Aku perlukan pakaian. Aku mahu bergaya. Aku perlu kelihatan segak. Aku mahu penampilan yang rapi agar dihormati.
Akal kata berbelanjalah secara bijak. Tak perlu jenama terkenal. Kualiti tak semestinya perlu ada nama. Pilihan lain sentiasa ada. Cari dan pasti akan jumpa.
Nafsu kata barang berjenama jaminan kualiti. Biar orang nampak bergaya, mutu keunggulan. Bayar sahaja, tak perlu fikir kali kedua.
Ada masanya aku keliru membuat kata putus. Akal dan nafsu masih bercakar. Aku selesa dengan pilihan sekarang. Bergaya tanpa papa.
Aku tahu apa yang aku perlu. Aku tahu apa yang aku mahu. Ada yang aku mahu tapi aku tak perlu. Ada yang aku perlu dan aku mahu. Aku perlu beri kata putus untuk setiap apa yang aku perlu dan apa yang aku mahu. Hidup itu indah.
Cabaran 5: Empat Bilion
RM4.4 bilion. Jumlah penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak.
Kerajaan, melalui Biro Pengaduan Awam, meminta pandangan rakyat, ke mana subsidi kerajaan paling sesuai disalurkan:
a) tambah baik kemudahan persekolahan
b) tambah baik kemudahan kesihatan
c) tambah baik perkhidmatan pengangkutan awam
d) tambah baik kualiti bekalan air
e) kegunaan kebajikan awam
Pilih SATU sektor di atas, yang kamu rasa paling kritikal untuk ditambahbaik, dan hujahkan kenapa.
Anjakan Generasi
4 bilion. 4 ribu juta. 4 diikuti dengan 9 angka kosong dibelakangnya. Satu angka yang teramat besar. Satu angka yang mustahil untuk dimiliki oleh setiap orang kecuali orang ini dan mungkin dua tiga lagi rakyat Malaysia. Satu angka besar yang perlu dibelanjakan secara jujur dan telus.
Aku memilih untuk meningkatkan kemudahan pendidikan. Aku mahu taraf sekolah dinaikkan. Aku mahu tenaga pengajar yang berkebolehan. Aku mahu generasi pelapis aku lebih bijak dari generasi sebelumnya. Aku mahu generasi berilmu yang berakhlak tinggi.
Kerajaan perlu menyalurkan subsidi dalam sektor pendidikan sekiranya ingin melihat generasi mendatang lebih bijak dan berjati diri tinggi. Hasilnya, generasi ini mampu mencari jalan mengatasi masalah-masalah lain seperti pencemaran alam sekitar, masalah pengangkutan awam, bekalan air dan sebagainya. Walaupun dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang, usaha ini merupakan kesinambungan dalam meneruskan pembangunan negara mencapai wawasannya.
Subsidi perlu diberikan mengikut keperluan utama. Dana yang disalurkan perlu memberi keutamaan kepada sekolah luar bandar. Sekolah yang ketinggalan. Sekolah bandar mewah. Banyak sumber wang. Ibu bapa pelajar kaya raya, sekolah ada penaja. Aku mahu bantuan diagihkan ke sekolah luar bandar bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan prasarana yang setara.
Sistem pendidikan juga perlu dikaji semula secara keseluruhannya bagi memenuhi permintaan pasaran terkini. Pendidikan perlu berteraskan keperluan pelajar untuk meneruskan cita-cita dan seterusnya menjadi pemimpin dalam wilayahnya. Teras utama pendidikan perlu selaras dengan wawasan negara yang berpandukan kepada permintaan tenaga kerja terkini.
Para pemikir ternama yang mampu melihat corak masa depan perlu dikumpulkan untuk berbincang bersama dan membuat keputusan tepat mengenai sistem pendidikan yang perlu diterapkan kepada para pelajar. Hasil perbincangan dan keputusan akhir perlu disampaikan secara jelas nyata dan difahami sepenuhnya kepada setiap pihak yang terlibat.
Tenaga pengajar yang sedia ada perlu diberi pendedahan lebih meluas berkenaan kaedah terbaik dalam menyampaikan ilmu. Subsidi berbentuk bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi pasti akan membawa perubahan ketara dari segi corak pengajaran sekaligus mengangkat aras pemikiran yang bakal digarap kepada pelajar kelak.
Pengajaran berbantukan elemen multimedia juga mampu merangsang pancaindera pelajar dan sekaligus meningkatkan tahap penguasaan ilmu. Penggunaan peralatan sebegini perlu diperbanyakkan dan tenaga pengajar juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran ini. Segala kemudahan ini memerlukan satu sistem pengurusan tersusun dan ditadbir secara profesional. Ini adalah untuk menjamin kemudahan yang diberi akan digunakan secara sepenuhnya.
Kemajuan teknologi komunikasi memungkinkan perhubungan pelbagai hala antara sekolah, pelajar dan guru. Kemudahan ini membuka satu saluran bicara yang pasti akan meningkatkan penguasaan ilmu. Projek SchoolNet yang sedang giat dibangunkan akan membuka laluan penting ke arah memantapkan lagi saluran komunikasi ini. Langkah berikutnya ialah mencari wadah untuk komunikasi sebegini digunakan sepenuhnya oleh semua pihak.
Kerjasama semua pihak diperlukan dalam usaha melahirkan generasi yang diidamkan. Perancangan rapi menjamin hasil yang diingini. Wang hanya membantu. Apa yang lebih penting ialah perubahan sikap dan minda.
450 patah perkataan tak termasuk tajuk.
Bulan lepas aku senyum. Senyum kerana ini. Bulan ini aku senyum juga. Aku akan cuba untuk senyum pada setiap akhir bulan. Senyum itu berbudi bahasa. Senyum itu tanda gembira. Senyum itu sedekah.
Ini hasil carian sepanjang bulan Mac 2006.

Aku pernah tulis mengenai Musang Berapi di sini. Hari ini aku nak tulis mengenai penambahan (extension) yang aku selalu guna. Aku suka guna sebab aku suka buat kerja pintas.
Aku guna penambahan yang diberi nama DictionarySearch. Kalau nak guna, kena ada Musang Berapi. Muat turun penambahan ini di sini dan instal.
Cara guna? Senang saja. Pilih perkataan yang ingin dicari. Klik kanan dan pilih “Search Dictionary for…“. Rujuk gambar di bawah.

Hasilnya, perkataan tersebut akan dicari maknanya dan dipaparkan secara terus seperti gambar di bawah.

Mudah. Sangat mudah. Tak perlu melawat laman dan memasukkan perkataan. Ini baru pintasan sebenar.
Itu cara untuk mencari makna dalam bahasa Inggeris. Bahasa penjajah. Aku nak cari makna dalam bahasa aku sendiri. Bahasa ibunda. Belajar caranya di bawah ini.

Pilih Tools dan seterusnya pilih Extensions.

Pilih DictionarySearch dan seterusnya klik Options.

Pada ruang Dictionary 3, masukkan parameter berikut:
Text: Cari makna untuk perkataan “$”
URL: http://www.karyanet.com.my/knet/index.php?tpf=kamus_Dewan&kata_utama=$
Simbol “$” mewakili perkataan yang dipilih. Seterusnya klik OK dan pilih untuk keluar dari tetingkap Extensions.

Untuk menggunakan penambahan tersebut, pilih perkataan yang ingin dicari maknanya, klik kanan dan pilih “Cari makna untuk perkataan…“

Hasilnya akan dipaparkan di laman rasmi milik KaryaNet. Mudah. Sangat mudah. Sebarkan kepada umum.