Aku ada satu teori. Aku cipta kerana aku rasa ada sesuatu yang tak kurang kena. Aku rasa ada suatu persepakatan sulit yang menyebabkan terjadinya masalah ini. Ini satu teori konspirasi sahaja.

Teori ini berkaitan dengan perkhidmatan atas talian yang membolehkan penyambungan ke Internet di Malaysia. Talian ini dimonopoli oleh satu syarikat gergasi yang lahir dari zaman telefon berdering hinggalah zaman telefon bernada. Syarikat yang hidup bersenang-lenang tanpa perlu fikir tentang persaingan dari sesiapa. Syarikat yang berkuasa. Kuasa adalah segala-galanya.

Aku dapat rasa bahawa syarikat ini diberi arahan pihak atasan agar menghadkan laluan. Arahan dari siapa aku mahu biarkan kamu semua sendiri teka. Arahan yang mudah. Buka longkang sahaja walaupun sungai sudah tersedia. Hadkan bilangan pengguna. Siapa yang ingin berenang di dalam longkang perlu membayar harga yang tinggi. Harga tinggi yang sepatutnya boleh berenang bebas di dalam sungai yang luas. Tapi itu arahan yang diberi dan perlu patuhi. Para perenang hanya mampu mengangguk kerana tiada kuasa.

Ini satu fakta. Malaysia adalah negara membangun yang pesat. Tetapi sangat lambat bangunnya untuk perkhidmatan talian ke Internet. Ibarat seorang pesakit gout yang sangat kronik bersusah payah sambil berkerut menahan perit tatkala gesekan kasar pepasir sagat menyilu bebola tempurung lututnya. Lambat yang amat. Sudah tahun 2008. Lapan tahun menempuh alaf tapi perkhidmatan talian masih di takuk lama. Aku sangat marah kerana perkembangan talian negara aku masih berada di takuk lama. Rasa geram terlampau hinggakan aku sanggup untuk membuat takik baru di tengkuk orang yang menyebabkan talian masih berada di takuk lama.

Kenapa ini semua terjadi? Aku berpegang kepada teori konspirasi aku. Zaman moden merupakan zaman kegemilangan media. Zaman maklumat sebagai kuasa utama. Kuasa sebenar terletak di tangan tok dalang yang memiliki pentas utama yang menjadi tatapan rakyat jelata. Rakyat yang hidup dengan minda yang tersalut dengan cerita mengikut sandiwara yang sudah sedia skripnya. Rakyat menjadi bebal kerana saban hari dipaksa menelan maklumat dari satu pentas sahaja.

Aku yakin permainan kotor ini berpunca dari pihak yang ingin terus mengekalkan pentas yang satu itu untuk tatapan rakyat jelata.“IPTV? Lengahkan!”. “Broadband? Cukuplah 1mb tu, tak habis pakai pun”. “Internet adalah penyebab budaya negatif!”. “3G? HSDP? Wimax? Ahhh…”.

Bayangkan, andai kata talian sebesar longkang itu dinaik taraf menjadi sungai. Harga pula dapat dikurangkan sehingga ke tahap mampu-milik . Sudah pasti lebih banyak pentas boleh ditonton. Lebih banyak maklumat boleh dihadam. Lebih banyak ilmu boleh diamal. Senario yang sangat indah namun masih kekal sebagai satu khayalan semata-mata.

Implikasi yang terhasil jika perkara ini benar-benar terjadi amatlah besar. Media perdana yang menguasai sebilangan besar rakyat jelata akan tidak lagi relevan. TV akan merudum ratingnya kerana semakin kurang mata yang sudi menonton drama berselang iklan setiap lima minit. Maklumat akan lebih bebas melata dan tidak lagi bias seperti dacing berat sebelah. Rakyat mampu memilih berdasarkan maklumat yang dikutip dari pentas yang pelbagai. Aku yakin perubahan sebegini bakal melahirkan rakyat Malaysia yang lebih berkualiti dan secara tidak langsung mampu meninggikan modal insan sebagaimana yang sering terluah dari mulut seseorang yang ingin kekal sebagai ketua negara.

Babak Satu. “Assalamu’alaikum, Encik.” sapa penjaga mesin wang di sebuah stesen minyak milik tempatan. Wang tunai bertukar tangan. Minyak petrol bertukar tangki. “Terima kasih, Encik. Saya jual minyak ye Encik.” ucap pengisi minyak sambil tersenyum.

Babak Dua.”Empat ringgit setengah.” ujar penjaga mesin wang di sebuah kedai nasi kandar. Wang tunai bertukar tangan. Makanan bertukar tuan. Penjaga mesin wang tiada perasaan. Ragut wang sambil mata pantas menjeling pelanggan lain. Hati rasa panas. Sepanas tempayan roti nan. Hangat membakar. Mengkelan. Budi Bahasa Budaya Kita bukan budaya mereka. Cis!

Aku bukan fanatik bola. Berita sukan aku baca sekali sekala. Harian Metro muka surat terakhir terpampang satu cerita. Cerita kekalahan pasukan dari Malaysia.

Ini pengalaman pertama mereka beraksi di padang rumput tiruan dan saya tidak menaruh harapan tinggi untuk mencatat kejayaan di Singapura,” kata jurulatih pasukan Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah. Kedah kalah satu berbalas lima.

Aku terlopong. Aku jahil rupanya. Aku ingat semua padang adalah sama. Rumput asli dan tiruan tiada beza. Aku silap besar. Padang rumput tiruan itu telah menyebabkan pemain bola sepak Kedah gagal mencipta kemenangan malah menerima kekalahan memalukan. Sukar untuk bermain di atas padang rumput tiruan. Jurulatihnya memberi penjelasan berintikan alasan yang sangat rasional.

Aku sarankan agar pihak pengurusan bola sepak Kedah atau negeri-negeri lain untuk menambah peruntukan dengan melantik kontraktor logistik bagi membolehkan padang rumput di stadium masing-masing boleh di bawa ke mana-mana. Mudah alih. Cara ini pasti akan memberi kemenangan bergaya kerana para pemain boleh bermain dengan begitu hebat tak terkata. Padang rumput asli memungkinkan pemain membuat larian dan gelecekan sempurna.

Persembahan yang lebih baik boleh dicipta andaikata para bomoh seantero Malaysia berusaha memujuk para jin yang tegap sasa untuk mengangkut keseluruhan stadium seperti Ifrit mampu mengangkat Istana Balkis agar dapat dipindahkan ke setiap lokasi perlawanan. Bagi menjimatkan kos, pastikan penonton telah membanjiri stadium sebelum pemindahan dibuat. Para pemain akan mendapat satu semangat yang tak terhingga kerana mereka tidak lagi perlu risau mengenai persekitaran yang berbeza jika ingin bermain di tempat lawan.

Andai usaha ini memerlukan kos yang tinggi dan agak sukar untuk dilaksanakan, aku cadangkan agar kesemua jurulatih pasukan negeri bermesyuarat dan berkongsi idea untuk menerbitkan satu buku yang diberi tajuk 1001 Alasan - Panduan Untuk Jurulatih Tempatan. Pasti laris mencanak-canak.

Satu Trilliun. Rujuk wiki. Satu trilliun adalah bersamaan dengan satu juta juta. Aku suka angka ini. Satu juta juta. Angka satu dengan 12 angka sifar beratur di belakangnya. Tapi ada satu benda yang aku tak suka. Mesin kira aku tak mampu nak kira. Cuma keluar ralat sahaja. Cehhh.

Satu juta juta. Maknanya kalau satu orang diberi satu juta. Ada satu juta orang jutawan. Wow! Tapi kenapa aku rasa agak ragu-ragu untuk ada satu juta orang jutawan kerana aku lebih berasakan bakal ada beberapa orang ribu-jutawan atau mungkin satu orang juta-jutawan. Cehhh.

Kambeng