Aku jarang menonton drama TV Melayu. Aku gagal untuk melihat pengajaran dari drama-drama bangsa aku. Unsur emosi dipermainkan sehingga kadang-kadang melebihi logik akal. Bahasa yang digunakan kadang-kadang melangkaui kaedah pertuturan biasa.
Aku juga anti drama Melayu mewah. Terlampau mewah. Mewah yang melantun-lantun. Bukan aku cemburu, tapi aku rasa drama sebegitu hanya menipu. Aku mahu drama yang sebenar. Drama yang tidak menipu. Drama kehidupan sebenar yang jujur. Mungkin hanya aku seorang yang mengimpikan drama sebegitu. Mungkin aku tidak semewah penonton lain. Aku hanya mahu menjadi manusia jujur.
Aku tertonton satu drama bersiri. Sentuhan seorang sutradara jutawan dan kawan-kawan. Kisah kehidupan selebriti. Tajuk tipikal. Dialog mual. Lakonan bebal.
Aku tak tahu sama ada silap si penulis skrip, salah sang sutradara atau barisan pelakon yang kejang. Tapi deria aku memberitahu ada kesalahan. Kesalahan yang ketara. Aku tak dapat menerima. Sebuah drama TV Melayu sebegini caranya.
Aku mengambil keputusan untuk menulis skrip. Drama satu babak. Drama kehidupan. Dari sudut pandangan aku. Seorang anak yang perlu menjelaskan kepada sang ibu tentang kehidupan mereka. Manusia jujur yang hidup di kota.
Ini skrip aku yang beracuankan skrip mereka.
Lokasi di sebuah kampung. Bunyi ayam berkokok sahut-menyahut memberikan lebih suasana kampung. Pelakon sedang bersarapan. Air teh yang masih berasap memberikan gambaran bahawa situasi tersebut masih baru berlaku. Ada kuih cucur kodok terhidang dalam pinggan.
Pelakon perlu menyebut setiap patah perkataan di dalam skrip. Tidak dibenarkan sama sekali mengubah atau menyesuaikan dialog mengikut keadaan.
Actionnn!!!
Aku berkata, “Mak, lamanya tak merasa cucur kodok sebegini sedap”.
Mak menjawab, “Itulah, jarang sangat balik kampung”.
Aku menghirup air teh yang masih panas.
Mak berkata lagi, “Boleh Mak tanya beberapa soalan?”
Aku balas, “Boleh Mak, tak ada masalah.”
Mak menyambung, “Setiap malam Mak tengok drama TV, Mak lihat ramai orang Melayu kaya di Kuala Lumpur.”
Aku membalas, “Benar Mak, memang ada orang Melayu kaya, tapi ramai juga orang Melayu yang miskin kedana.”
Mak menyoal, “Benarkah ramai orang Melayu kita yang memiliki kenderaan mewah sebegitu? Tak pernah Mak melihat kereta sedemikian di sini.”
Aku menjawab, “Benar Mak, banyak orang Melayu kita yang memiliki kenderaan mewah. Tapi tak ramai. Ada seorang Melayu kita yang memiliki banyak kereta mewah. Ada bilik pameran di Kampung Baru dan Petaling Jaya. Mungkin juga ramai Melayu kita yang menyewa kereta mewahnya untuk tujuan tertentu.”
Mak menyoal lagi, “Mak rasa hairan dengan cara orang Kuala Lumpur bersembang. Benarkah ada segolongan orang di Kuala Lumpur yang bercakap seperti itu?”
Aku membalas, “Benar Mak, walaupun bukan semua. Kebanyakannya kami masih menggunakan lenggok bahasa seperti selalu, seperti percakapan biasa. Mereka yang bercakap sedemikian rupa mungkin atas dorongan seseorang.”
Mak berkata lagi, “Tapi, kenapa mereka semua jadi sebegitu?”
Aku membalas lagi, “Rasanya mungkin, pengarah atau penulis skrip terlalu banyak menonton cerita Hindustan. Gaya bahasa perlu menekankan aspek emosi dan permainan perasaan yang tebal. Namun perlu disesuaikan dengan struktur bahasa Melayu moden yang sebenar. Kaedah bahasa Melayu yang diajar di sekolah. Mungkin itu sebab utama mereka.”
Mak lantas menyahut, “Tapi Mak masih tak faham…”
Aku pantas memotong, “Relaks Mak, relaks, jangan terburu-buru membuat andaian.”
Mak terdiam. Relaks. Mak menyambung tanya, “Benarkah pasangan suami-isteri artis kurang pandai memanggil nama manja selepas berkahwin? Mengapa mereka masih membahasakan diri dengan nama sebenar?”.
Aku pula terdiam. Aku tercari-cari jawapan. Aku menjawab, “Mungkin nama manja hanya semasa bercinta sahaja, atau sudah menjadi peraturan rasmi bahawa artis perlu menggunakan nama artisnya dalam apa jua keadaan. Mungkin kerana sudah termaktub dalam perjanjian rasmi dengan syarikat rakaman bahawa penggunaan nama rasmi artis adalah wajib.”
Mak terdiam. Aku berpeluh.
Mak berkata semula, “Nanti boleh bawa Mak pergi Kuala Lumpur? Mak nak jumpa artis terkenal itu.”
Aku tergamam. Aku jawab, “Err, Boleh Mak, boleh nak bawa Mak pergi Kuala Lumpur, tapi kalau nak berjumpa dengan mereka mungkin agak sukar. Lokasi kebiasaan mereka ialah di sekitar pub atau disko. Ada lampu sorot dan lampu lip-lap berwarna-warni. Ada penari kekok dengan gaya tarian yang sangat melucukan. Sangat tak sesuai.”
Aku menambah lagi. “Lagipun, Mak perlu memahami gaya bahasa yang dituturkan. Bukan perkara mudah. Mak perlu belajar lagi.”
Mak terdiam lagi. Melihat ke arah cawan air teh yang masih berasap.
Mak bersuara, “Baiklah, Mak akan terus menonton siri itu untuk belajar lebih lanjut mengenai kehidupan manusia di Kuala Lumpur. Aneh sungguh cara mereka. Mak harap, anak Mak ini tidak terpengaruh dengan cara sebegitu”.
Aku pantas membalas, “Baik Mak, InsyaAllah”.
Cuttt!!!
Perhatian
Dialog di atas adalah rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan sesiapa yang masih hidup, separuh hidup ataupun yang merasakan dirinya mati. Sekiranya terdapat persamaan, itu hanyalah secara kebetulan bak kata pepatah Melayu siapa makan cili dialah yang terasa pedas. Majulah industri seni negara.
Aku memang pemalas. Tapi aku rajin berusaha. Aku sangat rajin berusaha untuk mencari jalan bagaimana cara menjadi seorang pemalas yang berjaya. Pemalas yang masih mampu melaksanakan kerja melebihi seorang yang rajin. Pemalas pintar.
Mak aku cakap aku ada penyakit. Buka sesuatu, tak pandai nak tutup balik. Memang ada benarnya. Aku bukak penutup bekas plastik, aku tak tutup. Aku bukak pintu, tak kunci balik. Aku bukak TV, biar sampai pagi. Tapi sekarang dah OK. Cuma penyakit sebenar aku rasanya sebab malas. Aku malas buat kerja-kerja remeh. Antaranya kerja remeh yang aku malas nak buat ialah ikat barang guna gelang getah.
Untuk mengikat plastik makanan yang dibuka, aku perlukan gelang getah. Untuk mendapatkan gelang getah aku perlu merayau dan mencari. Aku malas cari gelang getah sebab aku tak kumpul gelang getah. Nasib baik ada suatu hari aku merayau dan mencari dan terjumpa. Aku jumpa sesuatu yang menarik. Sangat menarik.
Aku jumpa alat kepit-katup. Walaupun nama sebenarnya ialah klip beg sandwich tapi aku lagi suka panggil alat kepit-katup. Alat ringkas yang sangat berguna. Aku nak berterima kasih kepada penciptanya. Anda memang boleh merebut jawatan presiden Kelab Pemalas Pintar SeMalaya.

Sekali pandang aku terus aku tahu apa aku boleh buat dengannya. Suka betul aku. Aku beli sampai dua set. Sekarang aku tak perlu cari gelang getah lagi. Aku cuma perlu kepit dan katup. Seronok. Seronok sangat. Aku kepit dan katup semua benda yang aku boleh kepit dan katup. Semua benda.

Aku kepit plastik buah epal.

Aku kepit plastik bawang putih bawang merah besar.

Ubat gigi kurus pun aku kepit jugak. Seronok betul.
Satu kerja remeh selesai dengan adanya satu alat yang ringkas. Aku tak perlu fikir lagi kerja remeh itu. Aku boleh buat kerja lain. Kerja macam mana nak jadi pemalas. Pemalas yang pintar.
Setiap malam lepas kerja aku bukak TV. Aku tak setia dengan mana-mana saluran. Aku rasa suka, aku tengok. Waktu perdana. Waktu puncak. Waktu iklan paling mahal. Waktu tengok berita.
Aku terperasan sesuatu. Dah lama aku perasan. Baru hari ni aku nak tulis.

Advertensi!!!?… Spesies istilah dari Kamus Dewan negara manakah datangnya ini? Kenapa sepanjang riwayat pembelajaran di sekolah aku tak pernah terserempak dengan istilah ini. Aku terlepas keretapi? Apakah pula maksudnya? Advert? Advertisement? Advertising? Tensi? Tension? Kata pinjaman yang digabungkan? Advert + Tensi? Advertisement + Tension?
Apa pula makna sebenarnya? Advertisement = Pengiklanan. Tension = Tekanan. Pengiklanan Tekanan. Iklan yang ditekankan? Tertekan melihat iklan yang menyibuk tengah-tengah sedap menonton berita?
Agaknya inilah harga yang perlu dibayar untuk mengaku sebagai negara maju. Harga seorang anak bangsa yang keliru dengan bahasanya sendiri. Aku yang keliru. Tapi aku mahu negara aku maju.
Dalam keliru aku menurut. Dalam terpaksa aku mengikut. Media massa pasti lebih berkuasa. Menentu hala tuju sesuatu bangsa. Aku hanya pak turut. Menjadi kaduk yang bersorak girang. Aku pun guna Advertensi. Iklan yang tertekan. Tekanlan iklan aku. Tekanlah Advertensi aku.
Ini baru 2006. Aku jangkakan lagi 10 tahun akan lahir seribu satu macam lagi istilah bahasa Melayu yang baru. Istilah yang bakal digunakan secara meluas di seluruh negara. Ini jangkaan ngeri aku. Ini istilah yang bakal digunakan pada tahun 2016;
Kemalangan maut
- Accifataliti (Accident + Fatal)Cakap tak serupa bikin
- Spekanonsensi (Speak - Nonsense)Melepak di pusat membeli-belah
- Loitekompleksi (Loiter + Shopping Complex)Hiburan melampau tanpa kawalan
- Extremainment (Extreme + Entertainment)Penagih dadah kenduri beramai-ramai
- Massdrugddicta (Mass + drug addict)Pelacur berlesen
- Ayamisensi (Ayam + License)Jejambat retak
- Exclimachemreaksi (Extreme climate + Chemical reaction)
Mungkin ada di antara anda yang boleh mencipta. Ciptalah sesuatu yang baru. Suatu istilah bahasa Melayu yang baru bagi menunjukkan bahawa negara kita adalah negara maju. Majulah negaraku, majulah bangsaku.
Ada suatu hari. Kuda aku dahaga. Kering. Aku cari kedai minum. Kuda aku kena minum dulu. Kalau tak minum nanti dia tak nak lari lagi. Aku jumpa kedai minum. Antara kedai minum jenama air Malaysia. Aku beli air untuk kuda aku. RM 4.00 untuk sekali minum. Sebanyak itu pasti kembung perut kuda aku.
Aku bayar dan pergi ke tempat minum. Kuda aku nganga luas-luas. Aku tuang air minum. Air minum keluar laju-laju. Kuda aku minum dengan rakus. Aku suka. Suka tengok kuda aku minum.
Sedang aku melayan kuda aku, ada satu amoi datang. Amoi yang biasa-biasa saja. Amoi pakai T shirt. Ada logo warna hijau biru. MakBapak Finance. Dia tanya. “Encik, encik ada pakai kad kredit tak?” Aku jawab pendek. “Tak”. Dia tanya lagi. “Kenapa tak pakai?”. Aku jawab balik. “Aku tak pakai kredit, aku bayar tunai”. Bangga aku jawab. Dia cakap. “Encik, pakai la kad kredit”. Aku geleng kepala. Dia cakap lagi. “Encik, pakai la kad kredit, tak rugi maaa…” Aku nak tersedak. Kuda aku pun nak tersedak juga.
Aku cakap. “Tak rugi? Sapa cakap tak rugi. Mesti ada rugi punya!”. Amoi tu terdiam sekejap. Kemudian dia cakap. “Encik, encik belajar ka sudah kerja?”. Hoh!? Ni mesti sebab dia tengok kuda aku tak comel. Asal naik kuda, orang mesti sangka budak mentah masih belajar. Cis! Aku balas ringkas. “Sudah kerja, kenapa?”. Dia balas. “Pakai la satu kad kredit encik. Nanti senang”.
Hoh!? Senang tengkorak berapi kau. Aku malas nak layan. Kuda aku pun dah kembung. Aku nak balik rumah. Kuda aku nak lari laju hantar aku balik rumah. Amoi tu masih terpacak kat sebelah aku. Aku cakap kat amoi tu. “Sorry la amoi, lain tahun saya apply. Tengkiu, babai”. Vroommm…
Secara peribadi, aku tak menolak kepentingan kad kredit. Ada waktunya kad kredit penting. Tapi perlu melihat kepada keperluan. Tanya balik diri sendiri. Aku ada senarai aku sendiri.
- Adakah aku habis beribu ringgit setiap kali berbelanja?
- Adakah aku sering mengembara ke seluruh dunia?
- Adakah aku ada disiplin diri yang cukup kuat untuk membayar hutang?
- Adakah aku mampu untuk menahan diri dari tidak menggunakan kad kredit untuk membayar sekilo bawang?
- Adakah aku sanggup membuat satu lagi kerja untuk memasukkan duit ke akaun syarikat kad kredit setiap bulan?
- Adakah aku sering melakukan perniagaan secara atas talian?
Keperluan aku hanya pada perkara yang terakhir dalam senarai tadi. Jadi bukanlah satu keutamaan buat masa sekarang. Aku ada cara lain lagi. Tapi suatu hari aku mungkin akan terjebak dengan budaya dunia plastik ini. Suatu hari nanti.
Tadi amoi biasa-biasa tu cakap lagi senang kalau pakai kad kredit. Tak akan rugi. Tapi kenapa ramai yang rugi. Kenapa laporan ini mengatakan ramai yang rugi. Ramai yang muflis. Salah orang dungu yang menggunakan kad kreditkah atau salah kad kredit yang menawarkan jerat lumayan kepada orang? Tepuk dada, tanya perut.
Kepada yang menggunakan kad kredit terbitan bank, sila berhati-hati. Kebiasaannya jika gagal membayar tunggakan kad kredit, secara automatik wang simpanan dari akaun bank akan ditolak untuk melangsaikan tunggakan tersebut tanpa sebarang notis. Senyumlah walaupun pahit.
Ada suatu hari. Aku belah. Aku pergi membeli. Aku pergi membeli-belah. Aku pergi pasaraya super-mega-ultra besar. Kejang urat kaki aku saei dari hujung pintu sampai hujung pintu satu lagi. Aku rasa macam nak membeli-belah sambil naik kuda. Biar kuda aku yang kejang urat kaki.
Aku terpandang sesuatu. Pandang yang sekali. Aku suka. Aku beli. Aku beli sebab aku rasa murah. Ini yang aku beli.

Ini yang aku bayar.

Aku gagal mengunakan fungsi deria penglihatan dengan berkesan. Aku gagal mengguna otak kiri untuk menterjemah bahasa dengan betul. Aku ikut nafsu. Orang kedekut kadang-kadang rugi. Rugi yang sekali. Aku janji. Lain kali tak buat lagi. Lain kali aku baca tiga kali. Aku harap orang lain juga baca banyak kali.
Iklan keliru. Ini contoh iklan yang mengelirukan. Menangguk di air keruh. Mengambil kesempatan di atas kelekaan. Aku terleka. Teruja dengan harga rendah. Zahir murah, batin mahal. Tapi aku belajar. Belajar untuk lebih peka dengan muslihat syarikat yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Menghukum pengguna yang terleka seperti aku. Syarikat itu jahat. Cis!
Aku rasa ingin mengadu. Tapi aku tak pernah mengadu. Dimana aku perlu mengadu? Bagaimana perlu aku mengadu? Adakah aduan aku akan diadu? Atau aduan aku cuma akan beradu? Aduuu… sss…