Larut
Dewa - Republik Cinta

Mungkin aku pernah juga.. merasakan cinta..
Tapi tak pernah.. seindah ini..

Mungkin aku juga pernah.. merasakan rindu..
Tapi tak pernah.. sedalam ini

Mungkin kamu takkan pernah.. percaya..
Bahwa sesungguhnya.. aku telah terjatuh..

Kuakui.. aku.. telah larut.. larut ke dalam..
Kamu.. yang ku cintai…

Lagu & Lirik : Ahmad Dhani

Aku suka memintas. Cara pintas. Cara paling cepat untuk menyelesaikan kerja tanpa mengorbankan kualiti akhir. Aku ada bermacam cara memintas. Aku memintas sebab aku pemalas. Aku mahu jadi pemalas pintar pintas.

Setiap hari aku mengadap komputer. Mata aku mesra skrin monitor. Jari aku mesra papan kekunci. Tangan aku mesra tetikus. Bukan tikus. Aku sememangnya pasangan sejoli komputer. Pasangan bahagia. Tapi aku masih ingin memintas. Ada beberapa perkara yang aku tidak suka dengan komputer aku. Aku perlu buat sesuatu.

Aku tak suka kekunci F1. Kekunci bantuan. Kekunci yang kalau ditekan akan memaparkan laman bantuan. Aku tak suka sebab aku malas menunggu. Aku perlu tunggu laman yang aku tak sengaja buka. Masa aku terbuang kerana terpaksa menunggu sesuatu yang aku tak sengaja. Tertekan. Aku sunguh tak suka.

Seperti biasa, aku menggoogle. Encik Google menjawab pantas. Gunalah perisian percuma ini. Namanya KeyTweak. Muat turun perisian iniĀ  dan guna dan berterima kasihlah kepada pengarangnya, penciptanya dan penulis kodnya yang telah memberikan perisian ini secara percuma.

Aku guna perisian ini untuk menukar fungsi F1 kepada fungsi delete. Jadi aku pintas kekunci F1 yang sering mencuri masa aku dan gantikan dengan kekunci delete yang terletak jauh tersorok ditengah-tengah kekunci lain. Kekunci yang dahulunya terlindung kini lebih senang untuk dikesan dan diguna. Aku hanya perlu guna jari hantu tangan kiri untuk mencapainya. Tiada lagi gangguan skrin bantuan yang aku tak sengaja tekan. Sekarang baru aku suka.

Pintar Pintas - Tukar Kekunci

Aku ada banyak lagi cara memintas. Aku akan kongsi semuanya di sini. Nantikan Siri Pintar Pintas yang seterusnya. Nantikan semuanya.

Aku naik kuda. Kuda aku lari laju. Kuda aku lari lebih laju dari kuda kembar yang sedang tekun beratur menunggu giliran untuk berlari. Kuda aku ligat mencelah. Kuda aku hebat membelah. Kuda aku jarang mengelabah.

Tapi ada satu yang kuda aku kalah. Satu yang kuda aku alah. Kuda aku takut hujan. Takut demam. Takut lelah. Takut angin sejuk yang datang melintang. Angin sejuk bersama garisan air yang merintang. Takut yang tak berani.

Adakalanya aku terpaksa juga menunggang kuda di dalam hujan. Hujan yang lebat. Angin yang datang menyebat. Aku guna pelindung kepala. Juga pelindung muka. Aku berlindung dari kekalutan hujan dan kerengsaan angin dengan pelindung kepala dan muka aku.

Tapi adakalanya hujan yang terlalu lebat menghalang aku melihat. Mengganggu aku menentukan apa yang ada di hadapan. Kabur dan kembang. Corak-corak kacau bilau. Sukar menentukan apa yang batil dan apa yang benar di hadapan.

Seringkali aku terpaksa menyapu cermin muka dengan tangan. Mengalih air yang bertakung, melekat dan memecahkan gambar yang aku lihat. Aku malas untuk menyapu. Sekadar menyapu untuk mengurangkan sedikit kesan. Sangat sedikit.

Aku dapat ilham. Aku guna bahan kimia. Bahan kalis hujan. Bahan yang kebiasaannya digunakan hanya untuk kuda kembar. Bahan untuk mengalih air hujan di cermin hadapan. Pengelap ajaib. Aku guna untuk pelindung muka aku. Aku mesti mencuba. Aku beli yang paling murah di pasaran. Kurang sesen sepuluh ringgit. Aku rasa ini pelaburan yang berbaloi.

Waxco - Rain Act

Ini yang aku beli.

Cermin muka dara

Ini cermin muka yang masih dara.

Cermin muka kena air

Ini cermin muka yang kena air. Kabur.

Cermin muka kalis hujan

Ini cermin muka yang disapu pengelap ajaib. Berjaya!

Aku berjaya menguji cermin muka dalam situasi sebenar. Hujan yang lebat mampu dikaliskan oleh cermin muka yang disapu pengelap ajaib ini. Aku rasa lebih yakin sekarang. Aku harap ramai yang boleh seyakin aku sewaktu menaiki kuda tatkala hujan lebat menimpa.

Aku banyak guna karan. Karan untuk hiburan. Karan untuk makan. Karan untuk kesihatan. Karan untuk banyak hal. Karan merupakan antara unsur terpenting untuk meneruskan kehidupan di zaman ini.

Bayangkan hidup anda selepas ini jika tiada karan. Balik kerja, tengok dinding. Tengok lukisan bergambar. Tiada pergerakan. Terhiburkah anda? Hujung minggu basuh baju dengan tangan. Kembang kuku dan kecut jari. Sanggupkan anda? Tiap hari perlu ke pasar membeli ikan segar. Itu rutin setiap hari kecuali diet anda hanyalah ikan masin dan pekasam. Seronokkah anda? Tepuk dada tanya perut.

Penggunaan karan melibatkan kos. Kos yang perlu dibayar untuk menggunakannya. Bayar kepada penyedia kemudahan karan. Setakat ini memang tak ada masalah untuk aku membayar kos karan. Aku hargai tugas mereka yang menyediakan kemudahan karan untuk aku. Mereka memudahkan kehidupan aku.

Aku perlu tahu kos karan untuk setiap barang yang diguna atau bakal diguna. Mungkin perkara kecil bagi sesetengah orang tetapi tidak bagi aku. Aku perlu tahu itu semua. Itu akan membantu untuk aku membuat pilihan yang lebih tepat. Pilihan yang bersesuaian dengan keperluan semasa. Aku perlu ada ilmu untuk mengira kos karan.

Aku menggoogle lagi. Pagi-pagi lagi aku sudah memanggil Encik Google. Dia lantas menjawab. Dia beri aku sumber ilmu. Ini ilmu yang aku dapat. Cara mengira kos karan. Nilai yang perlu diketahui ialah watt dan berapa jam digunakan dalam sehari.

Watt x Penggunaan sehari (jam) = Jumlah penggunaan Kilowatt per jam sehari.

Darab dengan berapa hari diguna dalam sebulan untuk mendapatkan jumlah penggunaan bulanan atau berapa hari diguna dalam setahun untuk mendapatkan jumlah penggunaan tahunan. Sila rujuk link yang diberi untuk contoh dan penerangan lanjut. Seterusnya, aku cuma perlu rujuk dengan caj yang dikenakan oleh penyedia karan aku. Rujuk dan banding dan kira. Semudah itu. Mudah yang aku rasa jarang dibuat oleh orang.

Nilai Watt juga adalah tidak tetap tetapi bergantung kepada jenis barangan karan yang digunakan. Radio misalnya, semakin kuat dipasang, semakin tinggi penggunaan karan.

Peti sejuk merupakan pengguna karan terbesar di rumah. Meskipun peti sejuk dipasang secara kekal 24 jam tetapi penggunaan karannya adalah mengikut kitaran yang bergantung kepada beberapa faktor iaitu lokasi, suhu persekitaran serta penebatan. Kedudukan peti sejuk adalah penting, lebih sejuk lebih bagus. Kalau letak tepi dapur gas pun bagus jugak. Bagus untuk mengkayakan penyedia karan anda.

Suhu persekitaran penting untuk mengurangkan tenaga yang diperlukan oleh peti sejuk untuk melaksanakan proses penyejukan. Keadaan peti sejuk juga perlu diteliti. Penebatan yang baik menjamin kualiti penyejukan terbaik serta mengurangkan kos karan dalam jangka masa panjang.

Teknologi terkini pembuatan peti sejuk generasi baru yang menggunakan tenaga secara lebih efisyen juga lebih menjimatkan. Justeru itu adalah lebih baik untuk menukar peti sejuk jika anak anda yang lahir semasa membelinya sudah sama tinggi. Apa yang penting ialah membuat pilihan membeli berdasarkan keperluan dan bukannya kenafsuan.

Mulai sekarang aku akan belajar menghargai karan. Belajar menghargai sesuatu yang sangat bernilai tetapi sering dipandang sebagai sesuatu yang remeh. Karan tidak seharusnya dibazirkan. Pembaziran yang pastinya akan merugikan.

Aku pernah baca buku Azizi Ali. Buku jadi jutawan. Azizi Ali seorang jutawan. Ada duit berjuta-juta. Aku juga nak jadi jutawan. Jadi Azizi Ali. Ada duit berjuta-juta. Tapi aku tak mungkin jadi jutawan kalau aku cuma ada jutaan angan-angan jutawan. Angan aku perlu jadi tindakan.

Dalam buku Azizi Ali, ada sebut mengenai rekod aliran tunai. Jumlah perbelanjaan setiap bulan. Rekod setiap ringgit yang mengalir. Masuk ke poket atau habis dirempit. Azizi ajar guna jadual aliran tunai keluar masuk. Aku pernah buat jadual sebegitu. Aku guna Microsoft Excel.

Malangnya aku pemalas. Aku malas menunggu untuk membuka fail Microsoft Excel itu. Aku terpaksa tunggu lama. Aku juga terpaksa terkial-kial mencari sel yang perlu diisi. Semua itu membuang masa dan membosankan aku yang pemalas ini. Aku cuba cara lain.

Hampir dua bulan aku mencuba cara ini. Bermula dari tahun baru. Setakat ini belum ada tanda-tanda penyakit kemalasan aku menyerang semula. Setiap hari aku kemaskini. Setiap hari aku ingatkan diri aku untuk mengemaskini laporan ini. Aku suka cara ini.

Aku guna fail teks biasa. Aku guna Windows Notepad. Aku tak perlu perisian lain. Perisian yang serba canggih dengan arahan berjela-jela. Cukuplah Notepad yang serba ringkas dan boleh dibuka sekelip mata. Aku tak perlu tunggu lama-lama. Aku suka cara ini.

Berikut adalah contoh sebahagian isi kandungan aliran tunai aku. Ringkas dan mudah. Padat dan pantas.

Kurang Lebih - Rekod Aliran Tunai

Jumlah harian adalah jumlah perbelanjaan untuk hari tersebut manakala jumlah terkumpul adalah jumlah keseluruhan sehingga hari terakhir rekod dibuat. Aku juga menyimpan fail mengikut nama bulan iaitu satu fail teks untuk bulan Januari dan fail teks lain untuk bulan Februari dan begitulah untuk bulan-bulan berikutnya. Aku namakan fail tersebut dengan nama yang mudah diingat serta disusun mengikut nombor. Sila rujuk gambar di atas untuk penamaan fail.

Kalau nak senang, simpan fail ini dalam thumbdrive, pendrive atau apa-apa drive yang sama waktu dengannya. Mudah untuk dikemaskini kerana saiz fail yang kecil dan boleh dibuka oleh mana-mana komputer. Sekiranya merasakan bahawa maklumat tersebut adalah sulit dan orang lain tak perlu tahu, fail tersebut boleh dimampatkan (zip) dan diletak kata laluan (password). Sangat mudah. Sangat senang. Aku yang pemalas ini pun boleh buat, apatah lagi orang-orang rajin di luar sana.

Kini, setiap hujung bulan aku tahu kedudukan kewangan aku. Aku boleh banding dengan gaji yang aku terima. Aku tahu sama ada aku kurang atau aku lebih. Setakat ini sudah dua bulan aku kurang. Kurang yang terlampau. Kurang yang bersebab. Kurang yang ada makna. Aku kena lebih berhati-hati semasa berbelanja. Aku perlu mengatur langkah agar lebih waspada. Aku juga mahu ramai lagi manusia berwaspada. Nafsu berbelanja sememangnya sangat merbahaya. Cegahlah sebelum parah.