Aku suka idea yang ringkas. Pintasan yang pintar. Aku jumpa satu laman yang bagi idea pintar pintas. Aku jumpa laman ini. Cara menangkap tikus tanpa perangkap. Cuma aku rasa kena ubah suai sedikit.

Aku Melayu. Aku Islam. Orang Melayu Muslim tak pakai kertas tandas. Untuk membuat gelung kertas berbentuk selinder terpaksa gulung sendiri. Boleh pakai kertas tebal atau manila kad. Gulung sehingga membentuk selinder dan ratakan satu bahagian bagi membolehkan ianya terletak dengan elok di atas meja.
Aku Melayu. Rakyat Malaysia. Tikus warganegara Malaysia suka makanan Malaysia. Umpan yang paling baik aku rasa ialah lebihan ikan goreng atau makanan yang berbau enak. Aku pernah dengar petua umpan tikus dengan isi kelapa yang dibakar sehingga menerbitkan bau harum semerbak. Aku belum cuba lagi umpan sebegini.
Letak umpan di sebelah hujung selinder tadi dan imbangkan di atas meja. Pastikan agar sebarang perubahan berat akan menyebabkan selinder tersebut jatuh ke bawah.
Gunakan bekas yang tinggi. Tinggi yang menyukarkan tikus melompat. Bekas yang licin di dalamnya. Licin yang menyukarkan tikus memanjat. Aku rasa tong sampah atau bekas yang bersesuaian boleh digunakan. Buat ujian bagi mengenalpasti lokasi kejatuhan yang tepat bagi meningkatkan kejituan perkakasan perangkap.
Setelah tikus diperangkap, tibalah masa yang paling sukar dan menyayatkan hati buat mereka yang berjiwa seni dan lemah. Masa untuk tikus mati. Ada bermacam cara untuk membunuh tikus.
- Cara pantas. Ketuk dengan cangkul atau kayu.
- Cara lambat. Rendam dalam air.
- Cara sadis. Siram dengan air panas.
- Cara pencinta haiwan. Lepaskan ke kawasan perumahan yang berada 20 kilometer dari rumah anda. Heheh…
Aku pernah tulis mengenai kejayaan Malaysia merangkul tempat kedua dalam Kejuaraan Grandprix A1. Aku sangat bangga. Kini aku akan lebih bangga lagi kerana Malaysia bakal muncul juara F1 atau apa saja kejuaraan yang melibatkan kenderaan bermotor.
Aku sangat bangga kerana kereta keluaran negara aku mampu memecah rekod dunia bagi kategori kenderaan bermotor yang bergerak di darat. Malah mungkin mampu bersaing dengan kelajuan pesawat ringan yang bergerak di udara. Ini sesuatu yang sangat membanggakan. Jangan sesekali memandang rendah akan kekuasaan jentera bermotor keluaran negara aku.

Aku ucapkan tahniah kepada saudara Kamarul Khairi Kasin yang memiliki jentera super-mega-ultra yang sangat hebat. Jentera Perodua Kancil, kereta bernombor WGB 892. Anda sememangnya mampu menundukkan juara-juara dunia. Pasti Schumi, Alonso dan Raikonnen hanya mampu tercengang dengan kelajuan hebat anda.
Aku dapat bayangkan betapa gelisahnya para pemandu F1 yang lain. Resah menunggu isyarat mula. Menanti kelipan lampu hijau. Risau menantikan pecutan pertama. Pecutan pertama yang menentukan siapa yang bakal menjadi juara. Aku tak perlu risau. Aku sudah tahu siapa yang bakal menjadi juara. Aku pasti. Aku yakin. Aku bangga.

Hampir separuh usia aku tak pernah memandu kuda kembar sendiri. Ini pengalaman pertama. Pengalaman yang menggigilkan kepala lutut. Aku kini separuh pandai memandu kuda kembar. Gigilan lutut aku sudah semakin kurang. Ini yang aku belajar.
Ujian Jalan Raya
Persediaan Awal
- Tekan pedal klac sepenuhnya bagi mengenalpasti kedudukan yang sesuai. Selaraskan tempat duduk agar pergerakan kaki adalah bebas dan selesa.
- Pastikan gear berada dalam keadaan bebas.
- Betulkan cermin pandang belakang dan cermin sisi di kiri dan kanan. Pastikan imej di dalam cermin memaparkan sebarang objek di belakang dengan jelas.
- Cuba lampu isyarat. Pastikan lampu isyarat kiri dan kanan berfungsi dengan baik.
- Cuba pengelap cermin. Pastikan pengelap bergerak normal.
- Pakai talipinggang keledar.
Mulakan Perjalanan
- Hidupkan enjin.
- Tekan pedal klac serapat mungkin.
- Masuk gear satu. Gerakkan gear ke arah bahagian atas paling kiri.
- Angkat pedal klac perlahan-lahan.
- Tekan pedal minyak sedikit. Selaraskan tekanan klac dan tekanan minyak agar kereta bergerak dengan lancar.
- Apabila kelajuan mencecah lebih 10 kmj, tukar ke gear dua.
- Tekan pedal klac serapat mungkin.
- Tarik gear ke bahagian bawah paling kiri.
- Angkat pedal klac perlahan-lahan sambil menekan pedal minyak sedikit.
- Apabila kelajuan mencecah lebih 25 kmj, tukar ke gear tiga.
- Tekan pedal klac serapat mungkin.
- Tolak gear sedikit agar berada di tengah iaitu di kedudukan bebas.
- Seterusnya, tolak ke atas di bahagian tengah untuk menukar ke gear tiga
- Angkat pedal klac perlahan-lahan sambil menekan pedal minyak sedikit.
- Ulangi proses penukaran gear mengikut kelajuan yang bersesuaian.
- Apabila kenderaan bergerak perlahan, disyorkan untuk menukar ke gear dua.
Berhenti
- Tekan pedal klac serapat mungkin.
- Tekan pedal brek perlahan-lahan. Jangan tekan terlalu kuat dengan cepat, kereta akan berhenti mengejut.
- Bebaskan gear.
- Tarik brek tangan ke atas sepenuhnya.
Mula Perjalanan Setelah Berhenti
- Tekan pedal klac serapat mungkin.
- Masukkan gear satu.
- Picit butang brek tangan dan tekan ke bawah.
- Angkat pedal klac perlahan-lahan sambil menekan pedal minyak sedikit.
- Tukar gear mengikut kelajuan yang bersesuaian.
Keluar Dari Simpang
- Pasang lampu isyarat sama ada ingin ke kiri atau ke kanan.
- Lihat cermin belakang dan cermin sisi.
- Palingkan sedikit ke bahagian sisi bagi mengesahkan sudut pandangan kerana masih terdapat blindspot.
- Pastikan tiada kenderaan yang menghalang atau menggunakan jalan ketika itu.
- Tekan pedal klac serapat mungkin.
- Masukkan gear satu.
- Angkat pedal klac perlahan-lahan sambil menekan pedal minyak sedikit.
- Ulangi proses penukaran gear mengikut kelajuan yang bersesuaian.
Amaran
- Sentiasa berada di lorong yang ditetapkan. Ditegah sama sekali keluar dari garisan yang telah tentukan.
- Jangan menekan pedal minyak terlalu kuat, biasakan dengan kelajuan terlebih dahulu.
- Jangan mengenggam stereng dengan kuat, pegang dengan selesa dan biarkan sendi tangan bergerak bebas. Pegang stereng mengikut kedudukan jarum jam pukul 9 (tangan kiri) dan pukul 3 (tangan kanan).
- Penggunaan klac sangat penting. Setiap pergerakan memerlukan tindakan dari penggunaan klac.
- Penggunaan lampu isyarat juga penting. Pastikan pengguna lain tahu arah mana yang anda ingin ambil. Untuk persimpangan, pastikan isyarat diberi semasa kenderaan berada 50 meter dari simpang.
Ujian Kemahiran Memandu
Ujian Menaiki Bukit
- Bergerak sehingga ke garisan penanda putih.
- Tekan pedal klac sepenunya dan bebaskan gear. Tunggu sehingga mendapat kebenaran.
- Setelah dibenarkan, matikan pendingin hawa kereta untuk mendapatkan lebih kuasa pikap.
- Tekan pedal klac sepenuhnya dan masuk gear satu.
- Angkat pedal klac dan tekan pedal minyak perlahan-lahan.
- Pastikan kereta bergerak dalam keadaaan lurus.
- Setelah berada dikaki bukit, mata perlu difokuskan ke bahagian sisi untuk mendapatkan kedudukan yang sejajar dengan cermin sisi bagi menentukan kedudukan tayar berada di atas garisan kuning semasa berhenti.
- Selaraskan agar cermin sisi berada sedikit belakang dari tiang kedua di atas bukit.
- Setelah berada di kedudukan yang tepat, tekan brek sepenuhnya.
- Bebaskan gear dan tarik brek tangan sepenuhnya.
- Angkat tangan dan tunggu arahan penguji.
- Setelah dibenarkan, tekan pedal klac sepenuhnya dan masuk gear satu.
- Tekan pedal minyak sehingga meter rpm berada di atas angka 3.
- Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan meter akan jatuh ke angka 2. Kereta berkeadaan seolah-olah turun sedikit. Tetapkan kedua-dua kaki pada kedudukan ini.
- Picit butang brek tangan dan tekan brek tangan ke bawah. Kereta akan bergerak perlahan-lahan menuruni bukit.
- Tetapkan kedua-dua kaki pada kedudukan ini.
- Setelah hampir dengan tanda garisan, tekan brek untuk berhenti.
- Keluar untuk membuat ujian letak kereta.
Ujian Letak Kereta (Parking)
- Pastikan kereta lebih rapat ke arah kiri. Jarak ruang antara tiang kiri dengan kereta ialah 2 kaki dan tiang kanan dengan kereta 4 kaki.
- Pandu terus sehingga hujung kereta sama paras dengan tiang terakhir di sebelah kanan.
- Duduk secara normal, palingkan muka ke arah kiri dan lihat sama ada tiang ketiga berada di dalam cermin kecil di bahagian kiri belakang kereta.
- Selaraskan kedudukan kereta dengan bergerak ke hadapan atau mengundur ke belakang sehingga tiang tersebut kelihatan berada di tengah-tengah cermin kecil kereta.
- Setelah mendapat kedudukan yang tepat, bebaskan gear.
- Pusing stereng ke arah melawan jam sehingga habis agar tayar hadapan mengarah ke kiri.
- Tekan pedal klac sepenuhnya dan masukkan gear undur.
- Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan pandang cermin sisi di sebelah kanan.
- Lihat melalui cermin dan pastikan badan kereta melepasi tiang keenam sebelum berhenti.
- Pusing stereng mengikut jam sebanyak dua kali agar tayar hadapan lurus dengan badan kereta.
- Undur lagi sehingga tayar belakang berada di atas garisan kuning petaktempat letak kereta. Gunakan cermin sisi kanan atau lihat secara terus melalui tingkap. Setelah berada di atas garisan kuning, tekan pedal klac dan brek serentak.
- Pusing stereng mengikut jam sehingga habis agar tayar hadapan kereta mengarah ke kanan.
- Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan undur sehingga badan kereta berjarak setengah kaki dari tiang petak letak kereta. Tekan brek untuk berhenti.
- Tekan pedal klac dan bebaskan gear.
- Pusingkan stereng melawan jam sehingga habis untuk melaraskan kereta agar berada selari dengan petak letak kereta.
- Pastikan kedudukan kereta dengan melihat kedudukan tiang atau melihat keluar melalui tingkap.
- Tekan pedal klac dan bebaskan gear.
- Angkat tangan dan lihat cermin belakang sekiranya penguji berada dibelakang atau hadapan jika sebaliknya.
- Tunggu arahan dari penguji.
- Setelah dibenarkan, pusing stereng melawan jam sehingga habis agar tayar hadapan mengarah ke kiri.
- Tekan pedal klac dan masuk gear undur.
- Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan undur sehingga badan kereta berjarak setengah kaki dari tiang letak kereta. Tekan brek untuk berhenti.
- Tekan pedal klac dan bebaskan gear.
- Pusing stereng mengikut jam sehingga habis agar tayar hadapan mengarah ke kanan.
- Tekan pedal klac dan masuk gear satu.
- Angkat pedal klac dan keluar perlahan-lahan. Apabila cermin sisi sebelah kiri selari dengan tiang rujukan pertama tadi, pusing dengan pantas melawan jam agar kereta membelok ke arah kiri.
- Keluar untuk membuat ujian 3 point turn.
Pusingan 3 titik (3 point turn)
- Masuk dari tanda anak panah masuk dengan perlahan.
- Apabila telah mencecah tiang yang kedua, pusing mengikut jam sehingga habis agar kereta membelok sepenuhnya ke arah kanan sambil menekan pedal klac. Pastikan stereng ditetapkan agar kereta hanya membelok ke kanan sahaja.
- Tekan brek dan berhenti di hadapan tiang.
- Tekan klac dan bebaskan gear.
- Pusing stereng melawan jam sehingga habis agar tayar berpusing mengarah ke kiri.
- Tekan pedal klac sepenuhnya dan masukkan gear undur.
- Lepaskan pedal klac perlahan-lahan dan undur sehingga belakang badan kereta berada hampir dengan garisan putih. Tekan brek untuk berhenti.
- Tekan pedal klac dan bebaskan gear.
- Pusing stereng mengikut jam sebanyak tiga kali agar tayar berpusing mengarah ke kanan.
- Tekan pedal klac sepenuhnya dan masuk gear satu.
- Angkat pedal klac perlahan-lahan dan keluar mengikut arah tanda anak panah dan kawal stereng agar tidak melanggar tiang.
- Ujian selesai.
Semoga apa yang aku senaraikan di sini dapat membantu bakal-bakal pemandu kuda kembar yang lain. Pandu cermat, jiwa selamat.
Kembara bersama kroni UKM ini telah berusia hampir 3 tahun namun baru hari ini pengalaman itu akan dihikayatkan.
Aku terima panggilan dari kroni untuk membuat kembara di Pulau Tioman. Aku setuju dan terus ambil cuti hari Jumaat. Aku siapkan kerja cepat-cepat. Balik kerja awal-awal. Aku kemaskan barang. Tak banyak. Janji ada seluar mandi. Sunburn protection? Hoh! Tak payah.
Lokasi pertama ialah Tampin, Negeri Sembilan. Rumah ketua rombongan. Segala perbincangan dibuat di situ. Urusan pembayaran juga dibuat di situ. Makan malam yang sangat sedap juga dibedal di situ. Setelah hampir menjengah tengah malam, semua ahli rombongan bergerak menuju jeti ke Pulau Tioman iaitu Mersing yang terletak di Johor.
Perjalanan malam melalui jalan yang dipagari ladang-ladang kelapa sawit agak menyeramkan. Kehadiran kabus tebal dengan tahap penglihatan yang sangat kurang menyebabkan pemandu terpaksa menjegilkan mata semasa memandu. Para penumpang tidak dibenarkan tidur kalau tak mahu tidur untuk selama-lamanya. Tugas penumpang ialah menghiburkan pemandu. Sesekali berhenti rehat, menyedut asap untuk si perokok dan menyedut kabus untuk bukan perokok.
Sampai di jeti Mersing sebelum subuh. Masih gelap. Tiada perkhidmatan feri lagi. Feri pertama jam 9.00 pagi. Pusing-pusing cari kedai makan. Bedal roti canai dan milo panas. Kenyang untuk sementara waktu. Dalam kepala sudah terasa ingin terjun tiruk di air masin yang sangat lutsinar.
Ada dua jenis kenderaan air untuk dipilih. Bot laju atau bot besar. Bot laju cepat sampai, bot besar hampir 2 jam baru sampai. Bot laju mahal, bot besar tak sangat. Kami naik bot besar. Aku naik sampai ke bumbung. Bosan dengan suasana dalam bot. Semua tidur. Aku panjat atas bumbung bot, lepak dan bersembang dengan kelindan bot. Aku bertanya banyak perkara. Kelindan bot juga ramah. Cerita pelbagai rahsia. Rahsia kehidupan orang pulau.
Sampai di jeti Tioman, kami disambut oleh penyelia Taman Laut Tioman. Rakan aku PTD. Dia yang aturkan rumah rehat pegawai kerajaan. Rumah dua tingkat yang ada penghawa dingin dan berpeti sejuk. Seronok.
Aktiviti pertama ialah aksi terjun tiruk seperti yang dibayangkan tadi. Jeti hanya di depan rumah. Tak perlu berjalan jauh. Sewa jaket keselamatan dan alat snorkel hanya RM 10. Boleh simpan selagi belum pulang. Terjunan pertama dari atas jeti, aku terlepas alat snorkel. Tercabut tatkala kepala mencecah air. Perlahan-lahan tenggelam ke dasar laut yang aku rasa mencecah 10 meter dalamnya. Aku dapat snorkel ganti. Terjun lagi.
Puas melihat ikan. Warna garang. Warna lembut. Warna pelangi. Besar. Sederhana. Kecil. Lemah gemalai. Tangkas melincah. Semuanya ada. Sungguh indah ciptaan Allah. Aku bertahmid memuji kebesaranNya.

Tapi tak banyak batu karang yang hidup. Banyak yang mati. Tak sebanyak semasa aku kembara di Pulau Perhentian. Mungkin ada sebabnya. Aku tak pasti apa sebabnya.
Sebelah malamnya acara membakar. Membakar ayam. Selepas bakar kami makan. Sedap. Lazat dan menyelerakan. Ditambah dengan hembusan manja bayu laut China Selatan yang menggoda.
Pagi esoknya aku bangun awal. Kroni lain masih tidur. Letih barangkali. Aku bangun awal kerana aku ingin merakamkan suasana pagi di sebuah pulau indah. Pagi yang mendung. Mahu hujan. Aku rakam ketika titik-titik hujan mula menimpa. Aku sempat berehat di pondok Taman Laut Tioman ketika ribut pagi mula menggila.
Setelah hujan reda aku pulang. Kroni lain sedang bersiap. Hari ini agendanya ialah menjelajah sekitar pulau dengan menaiki bot. Kami ke lokasi yang sering menjadi tumpuan pelancong asing. Lokasi yang sering menjadi kawasan snorkeling. Lebih banyak ikan, dan mungkin ada karang. Aku sudah lupa apa nama sebenar kawasan itu, kalau tak Kampung Tekek mesti Kampung Salang.
Aku terjun di situ. Bersnorkel dengan gembira. Jumpa si pari biru. Bukan pari-pari. Ikan pari yang berwarna kebiru-biruan. Karangnya juga masih ada walaupun agak jauh ke dalam air. Aku rasa mungkin kawasan ini lebih sesuai untuk aktiviti scuba diving.
Kami singgah makan tengah hari di restoran yang ada. Sedap sebab badan penat. Bedal semahu-mahunya. Tambah air berkali-kali. Kenyang sekenyangnya. Kami bertolak balik. Sampai dipertengahan jalan, masih ada yang ingin bermain air. Kami minta supir bot untuk berhenti. Kami terjun dan bermain-main lagi. Ketika matahari tegak di kepala, itulah waktu air pasang. Ombak meninggi. Menghanyutkan. Nasib baik semua memakai jaket keselamatan. Tapi ada juga yang sudah lenguh lutut, lemah sendi siku dan tangan. Tak berdaya untuk berenang ke arah bot. Aku terpaksa membantu mereka yang letih. Sampai dalam bot semua tersadai.
Kami selamat sampai di rumah. Mandi air tawar untuk menghilangkan rasa melekit air masin. Aku semakin hitam. Kesan sunburn yang merengsakan. Tapi aku gembira. Seronok tak terhingga.
Agenda petang ialah meronda ke hujung pulau. Ada hotel mewah di situ. Kawasan matahari terbenam paling indah. Kami hanya berjalan kaki. Sewa basikal terlalu mahal. Meronda kampung macam polis pencen. Aku lihat pulau ini ada kenderaan. Ada motor, kereta dan van. Mungkin kerana terlalu besar. Tidak seperti Pulau Perhentian. Bebas dari asap monoksid yang mencemar.
Kami sampai di Berjaya Tioman Beach Resort. Masuk tanpa disoal. Berlagak seperti orang kaya. Lepak di tepi pantai yang memutih. Ditemani orang putih. Berjemur merah seperti udang karah kena goreng.
Kami menunggu sang mentari masuk beradu. Menanti mega merah muncul di ufuk. Bertaut dengan biru langit. Bercampur warna. Berbaur rona. Menari bersama awan mencorak panorama memukau. Sangat indah. Aku bertahmid lagi.

Kami pulang menaiki van. Sewa khas. Murah sahaja kerana mereka ingin ke sana juga. Sampai di rumah, kami mandi dan bersiap untuk membakar lagi sekali. Menu makan malam ialah ayam bakar. BBQ. Lagi sekali digoda bayu laut China Selatan.
Keesokannya kami bersiap untuk pulang. Berkemas. Bersedia untuk kembali meneruskan rutin kerja yang kadang kalanya amat membosankan dan memberikan tekanan. Kami singgah di Taman Laut Tioman. Berjumpa penyelia dan menyerahkan kembali kunci rumah. Berterima kasih di atas layanan mesra yang diberikan. Sangat berterima kasih. Kami berlegar di Muzium Taman Laut Tioman. Melihat variasi keindahan alam laut. Variasi ciptaanNya.
Kami menunggu feri untuk ke Mersing. Sempat bergambar lagi. Terasa sayu untuk meninggalkan pulau indah ini. Sayu kerana terpaksa tinggal di pulau lain yang lebih besar. Lebih rimas. Lebih sibuk.
Feri sampai. Kami naik. Feri singgah di semua jeti. Mengambil penumpang sehingga penuh. Kami duduk dengan sopan di tempat duduk dalam perut feri. Membosankan. Aku keluar. Lepak di belakang feri. Melihat deruan air yang membuak. Mencipta jaluran yang panjang. Meninggalkan jejak. Aku hanya duduk melihat kehijauan, kebiruan dan kehitaman air laut China Selatan. Merah dibakar panahan mentari yang tegak tepat di atas kepala.
Aku dapat rasakan paras air hanya beberapa inci sahaja lagi untuk masuk ke dalam bot kerana muatan yang sarat. Lebih-lebih lagi apabila feri membelok. Aku yakin dengan kepakaran supir feri ini.
Sampai dipertengahan jalan, feri jadi perlahan. Semua orang memanjangkan leher. Aku lihat supir melompat. Ada percikan air bersama wap tipis keluar. Aku kaget seketika. Supir cakap, “Enjin panas sangat”. Feri bergerak perlahan-lahan. Aku lega.
Sampai di jeti Mersing, kami terus ke tempat letak kereta. Ambil kereta dan meronda pekan Mersing. Beli cenderamata dan terus bergerak pulang menuju ke ibukota.
Aku rasa ini antara kembara yang paling berjaya. Menarik dan tidak membosankan. Bebas dan santai. Sekarang, ramai yang sudah ada keluarga. Mungkin sukar untuk menikmati kembara sebegini lagi, tapi itu bukan perkara mustahil. Ada usaha, ada jalannya.
Nak tengok galeri Kembara Tioman? Klik sini.
Aku tak pasti macam mana orang lain susun maklumat. Aku susun mengikut cara aku sendiri. Cara yang aku rasa paling senang nak cari balik. Cara paling mudah. Cara yang aku suka. Aku suka cara aku.
Aku susun nombor dalam telefon aku mengikut kumpulan. Aku kumpulkan mengikut kriteria tertentu. Aku lagi senang cari kalau dalam kumpulan. Senang untuk aku pintas. Mudah untuk aku guna fungsi carian yang telah tersedia dalam telefon. Tak perlu tergigil-gigil ibu jari menekan butang.

Kekaburan pada sebahagian gambar di atas adalah disengajakan. Jangan betulkan monitor komputer anda. Kesulitan amat dikesali. Model telefon yang digunakan adalah dari jenama Nokia model 6610.
Untuk nombor yang paling kerap aku guna, aku mulakan dengan huruf paling awal. Aku guna AB (ehem, ehem). Kenapa? Sebab, setiap kali aku nak guna aku tak perlu tekan butang banyak kali. Sekali tekan butang sudah cukup untuk aku berhubung dengan (ehem, ehem).
Maklumat seterusnya aku letak nombor akaun bank. Akaun Bank!? Kenapa, tak percaya ke? Aku letak maklumat tu ada dua sebabnya. Pertama, untuk mengelakkan aku terlepas hantar SMS jiwang kepada orang yg tak sepatutnya. Ada kemungkinan yang besar untuk aku tertekan salah butang yang mungkin menyebabkan orang lain yang menerima SMS dan aku yang akan menerima malu. Jadi adalah lebih baik aku simpan nombor yang bukan nombor telefon selepas dari nombor (ehem, ehem).
Sebab kedua ialah aku jarang tinggalkan telefon. Telefon aku pasti ada bersama. Satu-satunya peralatan elektronik yang aku sentiasa bawa. Aku bawa kemana-mana sahaja. Justeru itu sudah tentu lebih mudah untuk aku simpan kesemua maklumat penting yang berkaitan. Penting di sini adalah dalam erti kata berisiko rendah. Jangan pula simpan nombor PIN akaun ATM anda dan susun dalam kumpulan PIN. Memang nak cari nahas la kalau buat macam tu. Kalau telefon hilang, dengan duit-duit dalam bank sekali hilang. Gunalah akal sebaik-baiknya.

Aku susun mengikut kumpulan kawan yang paling ramai. Selalunya kawan ni mengikut lokasi atau tempat belajar. Aku namakan kumpulan ini bermula dengan dua atau tiga awalan huruf. Contohnya aku bekas pelajar UKM, oleh itu aku ada satu kumpulan UKM dalam telefon aku. Aku kumpulkan kesemuanya dengan awalan huruf “UKM”.
Apa yang aku perlu buat ialah gunakan fungsi carian dan taip huruf pertama terlebih dahulu, contohnya untuk aku mencari nombor kenalan dari UKM, aku perlu taip huruf “U” dan telefon akan menyenaraikan kesemua nombor yang bermula dengan awalan “U”. Seterusnya aku cuma perlu meneliti satu persatu nombor rakan yang aku ingin panggil. Senang. Sangat senang.
Aku juga ada kumpulan mengikut tempat kerja, keluarga dan lain-lain. Untuk keluarga aku gunakan awalan huruf “MY”. Jadi mudah untuk aku mencari nombor pakcik, makcik, sepupu, dua pupu dan sebagainya. Cara sebegini menjimatkan masa aku dan mengurangkan kehausan sendi ibu jari aku.
Aku yakin ada cara lain yang lebih baik tapi setakat ini aku rasa selesa dengan cara sebegini. Aku senang dengan cara yang senang ini.