Aku jumpa laman ini. Laman bertarung. Aku suka idea ini. Aku juga suka bertarung. Tapi langkah aku masih sumbang. Aku perlu banyak berlatih. Aku perlu mula berlatih sekarang.

Aku namakan latihan aku Pra-Juring 2. Sebab aku tak masuk Juring 2. Aku baru Pra. Baru Tadika. Baru bertatih mengatur langkah. Terketar-ketar memasang kuda-kuda.

Maaf seandainya aku mengganggu. Aku hanya mahu berlatih. Mengorak tapak membuka gerak. Jurus sumbang langkah gayat.

Aku akan cuba mengikut setiap cabaran. Aku akan cuba mengikut peraturan yang ditetapkan. Aku akan belajar hingga tamat.

Aku tak kisah dengan markah. Aku terima kutukan. Aku terima pujian. Aku masih belajar.

Jentik 1-1

Jentik 1-2

Jentik 1-3

Jentik 1-4

Watak diperolehi dari laman www.stripgenerator.com

* Belajar apa itu Ammonia di sini. Ketahui kesannya terhadap kesihatan di sini. Ingat ceritanya di sini.

Aku pergi kerja naik kuda. Lalu Stesen LRT Putra Taman Melati. Ada simpang. Lalu depan Kolej Tar. Ada simpang. Lalu Jalan Genting-Klang. Ada banyak simpang. Lalu Jalan Pahang. Juga ada banyak simpang. Lalu Jalan Kuching. Ada simpang. Jalan lagi. Lagi, lagi dan lagi. Sampailah ke tempat kerja.

Selamat sampai setelah melalui jalan dan merentasi simpang. Sepanjang perjalanan aku pasti guna lampu padam nyala. Mesti guna. Aku guna mengikut keperluan. Menghebah kepada pengguna ke mana aku ingin jalan. Ke mana arah aku ingin hala. Tapi ada juga mereka yang berpenyakit. Penyakit jiwa kronik. Gagal memahami fungsi lampu padam nyala. Ini aku senaraikan penyakit-penyakit mereka.

Cerebral Hyper-Banganginus Syndrome

Sindrom ini merupakan tahap terakhir dan paling bahaya. Pesakit ini dilaporkan sering memberikan kejutan serta mencetuskan perasaan ingin menyumpah-nyumpah yang mendalam kepada mereka yang berada di sekitar pesakit ini. Tidak kurang juga kes yang melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa di atas tindakan melulu dari pesakit yang menderita penyakit sebegini.

Tanda-tanda pesakit kronik sindrom ini ialah menukar lorong secara tiba-tiba tanpa sebarang isyarat sama ada tangan atau lampu padam nyala. Pesakit ini juga dikesan sering keluar atau masuk dari simpang ikut suka hati mereka seperti jalan raya tersebut telah dibuat oleh tujuh belas keturunan mereka yang silam.

Laporan turut menunjukkan bahawa pesakit sebegini turut menderita penyakit hati yang agak serius iaitu sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk membeli kereta tetapi teramat-amat kedekut untuk menyalakan lampu padam nyala meskipun lampu tersebut didatangkan bersama dengan kereta tersebut. Pakar berpendapat pesakit ini merasakan penggunaan lampu padam nyala akan memendekkan hayat kereta serta mengurangkan tekanan angin tayar.

Mengikut kajian pakar neurotik, pesakit ini lebih yakin dengan isyarat secara gerak hati atau lebih dikenali dengan nama sainsnya “ikutsukaakukaujeleskenapa”. Setakat ini belum ada lagi kajian lanjut yang dibuat bagi mengesahkan bahawa isyarat secara gerak hati ini mampu dikesan oleh para pengguna umum yang lain.

Sehingga kini tiada sebarang ubat yang boleh diberi kecuali terapi drastik yang sekiranya diberi peluang boleh dibuat secara pantas. Antara terapi yang disyorkan ialah menampar dahi pesakit secara bertubi-tubi sebanyak 25 kali tanpa belas kasihan. Rawatan ini dijamin dapat mengembalikan ingatan dan memberikan pengajaran kekal kepada pesakit mengenai peri pentingnya penggunaan lampu padam nyala atau isyarat lain yang bersesuaian. Terdapat juga terapi lain yang lebih sadis tetapi kesemuanya terpulang kepada tahap kepanasan aliran darah yang lahir dari tindakan yang disebabkan oleh pesakit.

Cerebral Slow-Spasticallistic Syndrome

Sindrom ini pula hampir menyamai sindrom pertama. Kes sebegini seringkali dilaporkan dan turut meningkatkan statistik kemalangan jalan raya serta statistik pesakit darah tinggi & lemah jantung yang menggunakan jalan raya.

Tanda-tanda awal pesakit ini ialah memberikan isyarat pada peringkat akhir sebelum menukar lorong atau keluar masuk simpang. Peringkat akhir ini membawa maksud pesakit telahpun membelok dan serentak dengan pemasangan lampu padam nyala dan sekaligus memberikan kejutan kepada mereka yang berada di sekitar pesakit. Tindakan sebegini seringkali membuahkan kata-kata yang kurang enak untuk diperdengarkan kepada umum.

Seperti penyakit yang lain, tiada ubat yang sesuai untuk diberi melainkan sesi terapi drastik yang didakwa boleh membantu mengurangkan penderitaan pesakit yang telah lama menderita penyakit ini. Antara teknik terapi yang disyorkan ialah sesi regangan otot pipi dan rahang dengan pantulan padu tapak tangan yang dibuat berselang kiri dan kanan secara terus-menerus tanpa henti selama 2 minit 30 saat. Menurut pakar, sesi terapi ini dapat memberikan kesan berpanjangan yang secara langsung dapat memberi ingatan kekal kepada pesakit.

Cerebral Diffuse-Sewelliusis Syndrome

Sindrom ini jarang dikesan kesnya namun terdapat juga laporan yang diterima menunjukkan masih ada pesakit yang menderita penyakit ini. Kesan dari penyakit ini tidak begitu serius. Kadar kemalangan akibat tindakan pesakit ini jugak kecil.

Tanda-tanda pesakit yang menderita penyakit ini ialah gagal untuk menentukan arah tujuan yang tepat. Seringkali pesakit menghalakan kenderaan ke arah yang berlawanan dengan isyarat yang diberi. Hasil kajian pakar neurotik membuat kesimpulan bahawa pesakit ini mungkin mengalami kekeliruan dalaman hingga menyebabkan aliran isyarat di dalam otaknya terselirat dan menghasilkan keputusan yang salah dalam proses penentuan arah.

Seperti juga penyakit kronik tadi, pesakit yang menderita penyakit ini tiada sebarang ubat khusus yang boleh diberi melainkan terapi drastik. Antara rawatan terapi yang disyorkan oleh pakar ialah memberi tunjuk ajar semula kepada pesakit mengenai arah dan isyarat yang bersesuaian. Caranya ialah dengan menarik telinga pesakit sekuat-kuatnya mengikut arah yang diajar, iaitu sebagai contoh untuk mengajar arah ke kiri, tarik telinga kiri pesakit dengan sekuat hati tetapi pastikan jangan sampai putus. Pakar mendakwa cara sebegini akan memberikan ingatan kekal mengenai kaedah mengesan, mengenalpasti dan memberikan tindakbalas yang tepat mengikut arah yang ingin dituju.

Nota : Penyakit di atas adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena-mengena sama ada yang masih hidup, masih mati atau sedang sakit. Penulis tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada individu yang bertindak mengikut rawatan yang disyorkan, bak kata pepatah orang-orang tua, “Sendiri Mau Ingat”.

Moral cerita ialah gunalah akal. Gunalah kemudahan yang ada. Gunalah apa yang telah diciptakan. Semuanya demi kebahagian diri sendiri, sanak-saudara, masyarakat dan negara.

Hari ini aku termusykil. Tertanya-tanya tentang sesuatu. Sesuatu yang sangat penting di zaman ini. Sesuatu yang sangat bernilai. Sama nilai dengan emas. Emas hitam. Emas yang melekat dan melekit.

Aku tanya Encik Google. Aku tanya mengenai tarikh lahir kereta yang pertama. Aku cari dan aku jumpa. Aku jumpa di sini. Kereta pertama yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (internal combustion engine) telah dibuat pada tahun 1806. Tepat 200 tahun yang lampau. Dua ratus tahun! Suatu jangka masa yang sangat lama untuk suatu peristiwa dalam sejarah peradaban manusia.

Sudah 200 tahun manusia menggunakan enjin sebegini. Sudah 200 tahun enjin sebegini beroperasi. Sudah 200 tahun manusia membakar emas hitam untuk bergerak. Sudah 200 tahun. Sampai sekarang, proses tersebut masih berterusan. Aku keliru. Aku geram. Aku rasa ditipu.

Mengapa aku masih perlu menggunakan emas hitam ini sehingga sekarang. Kenapa manusia masih lagi bergantung kepada emas hitam ini? Kenapa kenderaan masih memerlukan tenaga ini untuk terus bergerak? Kenapa? Tiada alternatif lain? Mustahil. Sangat mustahil.

Aku rakyat Malaysia. Negara paling bertuah. Aman dan selesa. Sinar matahari diberi percuma setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun. Nikmat yang melimpah ruah. Aku tahu dan yakin itu sumber tenaga. Sumber tenaga yang murah. Tapi kenapa tiada syarikat yang mengambil inisiatif untuk mencari jalan mengkaji tenaga alternatif ini? Mungkin ada yang terlena. Bangunlah dan baca ini.

Aku rakyat Malaysia. Negara paling subur. Antara pengeluar minyak sawit terkemuka dunia. Tapi kenapa kajian untuk menggunakan minyak sawit sebagai biodiesel terlalu perlahan sehinggakan aku rasa lebih pantas aku menaiki kura-kura di atas jalan. Mungkin ada juga yang masih tidur. Bangunlah, gosok mata dan baca ini.

Ada banyak lagi sumber tenaga alternatif yang lain. Apa yang perlu ialah buka mata. Bangun dari tidur. Ada bermacam-macam tenaga untuk diteroka. Ada angin, air, api dan tanah. Cuba semuanya. Cuba atas nama mencari ilmu. Cuba atas nama penciptaNya. Pasti berjaya.

Aku ingin melihat negara aku maju. Melaburkan wang menaja sektor penyelidikan dan pembangunan untuk mencipta tenaga alternatif yang mampu membantu manusia sejagat. Mengubah sejarah peradaban manusia. Melaburkan wang ke tempat yang sepatutnya. Bukan lawatan rasmi sambil belajar melihat wanita seksi bergelek, atau menutup piramid dengan bendera negara aku. Itu semua karut. Itu semua bahan asas untuk dicarut.

Aku mahu negara aku maju atas acuannya sendiri. Maju atas daya usahanya tersendiri. Maju dengan caranya sendiri. Bukannya menjadi negara yang mengaku maju tapi sebenarnya dungu. Aku perlukan negara yang maju, sebenar-benarnya maju. Maju dalam segala segi. Zahir dan batin.

Aku mahu negara aku maju. Bukan negara Pak Pandir atau Pak Kaduk yang hanya tahu menurut. Hanya tahu mengikut. Gah di mata dan mulut, tapi semuanya merupakan aksi badut.

Aku mahu negara aku mempunyai loji memproses biodiesel terbesar di dunia. Aku mahu negara aku mempunyai kilang pengeluar sel photovoltaic terbesar di dunia. Aku mahu negara aku dikenali sebagai pusat penyelidikan tenaga alternatif terbaik dunia. Aku mahu semua ini. Aku mahukan sekarang. Bukan lagi 200 tahun.

Teori konspirasi. Aku terhidu konspirasi jahat. Muslihat syarikat gergasi yang cuba mengabui mata pengguna bahawa penggunaan tenaga alternatif hanya akan menjahanamkan kenderaan. Kereta akan perlahan, tak bagus dan kurang berkesan. Tenaga elektrik akan merugikan. Tenaga solar akan hilang bila mendung. Tenaga angin hanya bermusim. Kami tahu semua jawapan. Jangan guna sumber tenaga ini. Gunalah emas hitam kami. Emas hitam ini akan membahagiakan anda sepanjang masa.

Aku dapat rasakan bahawa ada organisasi yang cuba menghapuskan hasil kajian tenaga alternatif kerana ia bakal menutup periuk nasi mereka. Aku juga dapat rasakan ada yang sudah dibeli. Menurut dan mengikut. Bayar dan hentikan kajian.

Gunalah emas hitam kami. Jangan gunakan bahan lain. Emas hitam ini akan menjadi penyelamat kamu. Penyelamat dayus yang secara perlahan-lahan akan meragut nyawa anak-anak dan cucu-cucu kamu. Penyelamat unggul. Gunalah emas hitam kami.

Aku akan bangun setiap pagi. Menghirup udara segar tanpa kehadiran zarah karbon monoksid yang memualkan. Mendengar nyanyian unggas melagukan irama indah memuji kecantikan mentari pagi. Melihat kehijauan alam dengan gemerlapan embun pagi yang berkilau. Aku akan tunggu saat itu. Aku tak perlu tunggu lama.

Aku jumpa sesuatu yang kelakar. Sesuatu yang menggelikan hati. Sesuatu yang menghiburkan. Aku jumpa apa yang orang lain cari. Aku akan kumpulkan dan tampal hasil carian kelakar ini setiap hujung bulan. Aku akan tanda dengan anak panah apa yang aku rasa kelakar. Aku akan kekal tersenyum.

Ini hasil carian sepanjang bulan Februari 2006.

Cari Kelakar - Februari 2006