Dulu aku berdebar-debar. Terketar-ketar. Mengigil-gigil. Itu dulu. Tapi sekarang tidak lagi. Aku sudah lalui semuanya. Aku sudah tempuhi semuanya. Aku sudah selesaikan semuanya. Aku sudah berjaya.

Seharian aku berkampung di situ. Dari jam 8.30 pagi. Berdiri, duduk dan menunggu. Terus menunggu dalam debar. Mengambil ujian satu persatu. Dan menunggu. Tunggu dan tunggu. Aku menunggu dengan sabar. Seperti tunggul.

Ujian pertama aku perlu mendaki bukit. Nasib aku kurang baik. Tiba giliran aku seekor Kancil tua datang mengadap. Bukan kuda yang gagah perkasa. Seekor Kancil lama yang kalau disembelih pasti liat dagingnya. Aku perlu berjaga-jaga. Aku perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Aku harap Kancil tua ini dapat bertahan.

Aku panjat bukit. Kali pertama tak sampai. Mula berpeluh. Aku undur balik. Kena marah sebab tak minta izin. “Maaf tok, anak cucu buat salah”. Suara hati aku memujuk. Aku undur sampai ke tempat mula. Aku panjat bukit lagi sekali. Tepat. Tegak kaki kuda kembar di garisan kuning. Lega. Letak kuda kembar di petak letak kuda kembar tak begitu susah. Aku sudah hafal semua teknik-tekniknya. Aku buat dengan mudah. Lega. Buat pusingan tiga titik. Pantas. Aku tak hadapi sebarang masalah. Lega.

Ujian bahagian kedua selesai. Aku lulus walaupun sedikit terkucil kerana terpaksa memanjat bukit sebanyak dua kali. Tapi aku masih lega. Aku diminta menandatangan borang dan menulis nama. Tangan aku gigil. Tulisan aku bertukar. Aku menulis seperti doktor. Tulisan cakar ayam. Tangan aku sukar dikawal. Hati aku ketawa bersama degupan jantung yang bergerak pantas.

Aku diminta tunggu untuk membuat ujian jalanraya. Aku lihat ramai orang. Ramai orang muda. Mungkin pelajar UIA. Aku cuba berbual. “Ramai orang hari ni?”. “Hari ni lebih kurang 280 orang ambil ujian”. “Wah! Sampai bila aku kena tunggu?”. Aku tunggu dan tunggu.

Cuaca panas terik, kering berjerebu. Aku pergi beli air. Dahaga terlampau. Panas terlampau. Perit terlampau. Perut memanggil nasi. Aku sabarkan. Aku perlu mendengar nombor aku dipanggil. Kalau terlepas nanti lagi lewat. Aku perlu sentiasa mendengar dengan teliti. Aku tunggu dan tunggu.

Jam sudah hampir pukul satu. Waktu rehat. Ada pegawai memberitahu. “Sila datang semula pukul 2 petang”. Aku rasa sempat aku keluar cari makanan. Aku menuju ke arah tempat aku letak kuda tadi. Kuda menunggu dengan setia. Aku lihat tempat menguji mata kurang orang. Aku menyelit. Aku buat ujian mata. Selesai. Lega. Aku tak jadi keluar cari makanan. Aku pergi beli air di tempat tadi. Beli karipap dan roti. Aku makan dengan lahap. Lapar terlampau. Aku solat Zohor. Aku tunggu dan tunggu.

Jam dua. Nombor aku dipanggil. Aku disusun mengikut kumpulan oleh penguji. Aku nombor tiga. Aku perlu tunggu orang sebelumnya selesai diuji. Aku tunggu dalam debar. Orang pertama pergi dan selamat kembali dengan senyuman lebar. Dia sudah lega. Orang kedua masuk. Duduk dan mula. Aku perhati dengan teliti. Aku nampak dia masuk gear. Aku rasa dia tekan minyak. Kuda kembar tenggelam. Enjin mati. Dia mula lagi sekali. Tekan minyak, tenggelam, enjin mati. Mula lagi. Tekan minyak, tenggelam, enjin mati. Dia pandang penguji. Penguji berkata sesuatu. Dia tutup muka. Aku rasa aku tahu apa sebabnya. Dia tak lepaskan brek tangan. Tiga kali dia tak lepaskan brek tangan. Rupanya ada orang yang lebih berdebar dari aku. Dia gagal.

Giliran aku tiba. Aku masuk. Penguji sebut nama aku. Aku sambut mesra. “Ya, saya”. Aku ingat kembali apa yang diajar. Aku selaraskan kerusi. Aku uji cermin pandang belakang, cermin sisi, lampu isyarat dan pengelap cermin. Aku pasang talipinggang keledar. Aku hidupkan enjin. Kuda kembar melompat. Aku melatah. “Laa, ada gear ke?”. Penguji diam. Aku lupa. Aku sepatutnya menguji kedudukan gear. Memastikannya berada dalam kedudukan bebas. Lantaklah. Aku toleh ke kiri dan cakap sambil cuba senyum. “Saya mula?”. Penguji setuju.

Kuda kembar mula bergerak. Aku pusing stereng. Ada bunyi pelik. Krek, krek, krek. Aku melatah lagi. “Erk, bunyi apa tu?”. Penguji diam. Aku pun diam juga. Aku teruskan membawa kuda kembar dengan perlahan. Kawal agar jangan melepasi garisan tengah jalan. Aku pandu dengan teliti. Tiba di simpang aku berhenti. Bebas gear dan tarik brek tangan. Aku mula kembali. Aku terus dan terus. Penguji diam. Aku diam. Penguji beri arah jalan. Aku ikut. Tiba di simpang aku berhenti. Bebas gear dan tarik brek tangan. Aku kembali ke tempat mula. Penguji menulis. Aku diminta menandatangan. Aku nampak ruang lulus ditanda. Aku lega. Lega terlampau.

Kuda Kembar  - Lulus dan Pandu

Aku kini tidak perlu risau lagi. Aku tak perlu ambil apa-apa lesen lagi. Aku tak perlu tunggu dan tunggu lagi. Tiada lagi penantian yang mendebarkan. Aku sudah ditanggung halal memandu kuda kembar di jalan raya.

Aku makan nasi minyak. Bukan aku punya. Nasi minyak majlis walimah kawan aku. Aku makan banyak sebab sedap. Aku makan dengan lahapnya.

Majlis Walimah Umei

Aku jumpa Zai, Dieha, Naza, Niza, Ayeen, Ckin, Fadil, Rahimi & Haris. Maaf sebab ada yang aku tak kenal. Selamat berbahagia kepada Umei & Zalisham. Semoga kebahagiaan berkekalan sehingga akhir hayat.

Aku pernah tengok dokumentari ini. Hasil air tangan produksi BBC. Sangat berkualiti. Penuh informasi. Dokumentari berkenaan kehidupan manusia. Dari lahir hingga akhir. Dari sebesar titisan air hingga sesempurna kejadian. Dari nafas pertama hingga degupan terakhir.

Dokumentari tersebut memutuskan bahawa tujuan utama kelahiran manusia adalah untuk meneruskan kitaran hidup. Memanjangkan generasi. Melahirkan, memelihara dan melihat perkembangan hidup generasi yang berikutnya. Tugas selesai apabila sakaratul maut menjemput.

Aku setuju. Manusia lahir untuk menjaga manusia lain. Manusia lahir untuk mentadbir kehidupan manusia lain. Manusia lahir untuk menyambung hayat manusia lain. Menjaga susur galur salasilah keturunan. Menjamin kesinambungan generasi akan datang.

Aku tahu. Hampir semua manusia akan melaluinya. Mungkin ada yang terlepas. Mungkin ada yang tiada jodoh di dunia. Tapi hampir kesemua manusia bakal menemui pasangan dunianya. Pasangan dari dunia asing. Dunia yang lain. Menyatu membentuk satu. Dunia baru yang satu. Niat untuk menyambung ikatan generasi yang baru. Melahirkan satu keturunan yang baru. Itu aku tahu. Itu aku setuju.

Aku juga bakal melaluinya. Dalam debar aku harus melaluinya. Menerima insan dari dunia asing. Menerima dengan hati terbuka. Menerima kelemahan dan kelebihan. Menerima segalanya.

Cabaran 2 : Realiti & Fantasi
Terlalu banyak “rancangan realiti” tempatan bercorak pertandingan nyanyi-nyanyi. Contoh: Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Audition, Mentor, Bintang RTM. Tulis entri tentang isu ini. Entri kamu boleh bersifat menyokong, menentang, atau neutral.

Realiti Bintang

TV adalah salah satu wadah komunikasi. Bicara satu hala. Penonton hanya lihat dan jilat. Tiada unsur interaktif. Tiada bicara dua hala. Kosong. Penonton tiada apa-apa kuasa.

Rancangan realiti mengisi ruang kosong itu. Penonton diberi kuasa menentukan arah tuju manusia lain. Kuasa mengatur hidup manusia lain. Kuasa untuk mengangkat atau menjatuhkan. Kuasa yang dinantikan oleh para penonton selama ini.

Antara sedar dan tidak, setiap penonton pasti akan dibuai unsur emosi. Air mata menjadi modal meraih simpati. Keceriaan menjadi modal meraih undi. Lunak suara terkabur oleh kebagusan paras rupa. Emosi menjadi penentu hayat para peserta. Bakat mungkin soal kedua.

Penonton disogok dengan episod kehidupan manusia lain. Manusia yang berimpikan bintang. Manusia yang bakal dipuja. Manusia pesona. Penonton diajak mengadili kehidupan manusia lain. Melihat perjalanan hidup manusia lain meneruskan kehidupan. Melihat langkah manusia lain mencari erti kehidupan. Melihat gerak manusia lain mengubah perjalanan hidup.

Satu rancangan pasti melahirkan satu bintang dan beberapa separa-bintang. Lima rancangan akan melahirkan lima bintang dan ramai separa-bintang. Bayangkan proses yang berterusan selama lima tahun. Secara perkiraan matematik yang logik, akan ada puluhan bintang dan ramai separa-bintang di Malaysia. Bintang bersinar, malap dan padam.

Rancangan realiti seharusnya berteraskan budaya setempat. Berlandaskan pegangan agama dan sensitiviti masyarakat umum. Namun begitu, istilah kontroversi dan hiburan berdiri di atas satu titik yang sama. Kontroversi menaikkan nama. Memberi pendedahan yang lebih luas. Membuka mata semua pihak. Sememangnya kontroversi itu amat membantu.

Kuasa sebenar fenomena ini ialah faktor wang. Tanpanya tiada siapa ingin ambil tahu. Tiada siapa ingin mengambil risiko membuat pelaburan. Tiada siapa yang menjadi bintang. Teknologi komunikasi terkini memungkinkan segalanya. Memberi peluang pengusaha meraih keuntungan dari ketulusan penonton membantu bintang kegemaran. Memberi pengusaha keuntungan yang berjuta-juta. Memberi peluang bakal bintang mencipta impian yang berjuta-juta.

Rancangan realiti yang sedia ada terlalu memesong ke arah hiburan. Terlalu melalaikan. Sering terbabas atas nama hiburan. Percikan wang ringgit keuntungan dan desakan emosi penonton sering mencipta biasan. Kabur, pecah dan kelam. Hanya mampu mengangguk setuju menelan semua kesalahan.

Bintang yang lahir bakal menjadi ikutan. Bakal menjadi pujaan. Bakal menjadi igauan. Bintang itu perlu menunjukkan contoh terbaik. Menerapkan nilai-nilai murni. Nilai seorang manusia bintang. Realiti bintang yang sebenar.

350 patah perkataan tak termasuk tajuk.

Cabaran 1 : Terkenang Semasa Dulu
Kisah mencuit hati, kenangan zaman budak-budak.

Sekuat Popeye

Aku sudah lupa tarikh kejadian yang sebenar. Aku hanya dapat agak tahunnya sahaja. Mungkin akhir 80an. Otak aku terlalu muda untuk mengingat fakta itu.

Aku masih mampu mengingat peristiwa itu. Peristiwa lucu yang hanya sekarang baru aku tahu kenapa ianya lucu. Aku pasti tersenyum bila terkenangkan peristiwa itu.

Aku dalam keretapi. Koc kelas kedua atau ketiga. Aku pasti bukan kelas satu. Ada kipas di siling gerabak. Kipas berpusing. Badan kipas berputar. Aku masih ingat lagi bagaimana rupa kipas itu.

Aku bersama keluarga. Ibu, bapa dan kakak. Adik aku belum lahir. Aku rasa aku ke Kuala Lumpur. Aku naik dari Taiping. Aku tak pasti kenapa aku ke Kuala Lumpur. Aku tak ingat.

Keretapi berhenti. Aku lihat ramai orang turun naik tangga keretapi. Aku lihat ramai orang keluar masuk pintu gerabak. Aku lihat ramai orang lalu lalang di tepi aku.

Aku lihat ada orang yang datang menjual barang. Menjinjing bakul sambil terjerit-jerit. “Kuih, kuih”. Suara orang menjual makanan. Aku terhidu bau enak. Aku rasa lapar dan dahaga. Perut aku turut setuju.

Ada orang datang bawa bungkusan. Di dalamnya banyak air tin. Ayah aku tanya. “Nak air?”. Aku angguk. Ayah aku panggil orang itu. Orang itu datang. Orang itu tunjuk bungkusan. Aku pandang sambil meneguk air liur.

Ayah suruh aku tunjuk air tin yang aku suka. Aku tengok lama-lama. Aku nak pilih air yang aku suka. Aku jumpa. Aku tunjuk. Aku suka.

Aku rasa lain. Aku rasa macam aku buat salah. Semua orang terdiam. Ayah diam. Orang itu pun diam. Aku keliru. Aku tak tahu kenapa. Orang itu berlalu pergi. Ayah masih diam.

Aku cuma pilih air tin yang aku suka. Air yang ada gambar cantik. Ada gambar yang aku kenal. Lambang besar di lengan Popeye. Kartun kegemaran aku. Kuat dengan hanya kunyah daun dalam tin. Aku pilih air tin dengan lambang Popeye. Aku pilih air tin dengan lambang sauh.

Baru kini aku faham kenapa mereka terdiam. Aku sudah salah pilih. Aku pilih air arak. Air mabuk. Aku pilih Anchor Beer. Patutlah semua orang diam. Mana aku tahu. Aku cuma suka tengok kartun Popeye. Aku nak minum air Popeye. Aku mahu sekuat Popeye.

350 patah perkataan tak termasuk tajuk.

Cabaran 0 - Siri TV Tempatan
Hujahkan kelemahan dalam sebuah siri TV tempatan dan cadangkan bagaimana pembaikan boleh dilakukan.

Bebal Benar

Rancangan ini sudah lama. Sudah bertahun. Sudah diulang-ulang. Sehingga kini masih kekal. Masih disiarkan. Masih mendapat slot utama. Masih ada episod baru.

Rancangan yang aku maksudnya ialah “Kisah Benar”. Kisah benar yang sungguh benar. Tak tipu. Tak bohong. Semuanya benar. Bebal benar.

Kelemahan ketara rancangan ini ialah promosinya. Sebuah rancangan 30 minit dihancurkan dengan promosi 30 saat. Aku tak perlu lihat keseluruhan cerita. Cukup dengan menonton promosinya sahaja aku sudah tahu apa yang bakal berlaku. Malah melihat tajuknya saja aku sudah dapat menduga apa yang bakal dipersembahkan.

Mungkin aku yang terlalu buruk sangka. Mungkin aku berlagak pandai. Mungkin hanya aku seorang sahaja. Mungkin ribuan penonton lain suka promosi sebegitu. Ceritalah semuanya selama 30 saat untuk ditonton nanti selama 30 minit. Berikan tajuk yang mudah dihadam minda dari tajuk yang membawa erti berganda.

Suka aku mencadangkan agar kisah yang dipaparkan lebih kuat, lebih dalam dan lebih berilmu. Ini cadangan aku. Aku ambil satu contoh. Katakanlah episod berkenaan kehidupan penyeluk saku kanak-kanak.

Versi mereka bertajuk “Penyeluk Saku”. Versi aku bertajuk “Masih Kasih”. Promosi mereka memotong setiap bahagian cerita dari awal hingga akhir untuk dimuatkan dalam masa 30 saat. Promosi aku menyusun bahagian dengan mencari ruang agar penonton tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku dan kesudahan cerita tidak dimasukkan dalam promosi 30 saat. Cerita mereka penyeluk saku mencuri dan akhirnya tertangkap. Cerita aku, penyeluk saku terdesak mencari sesuap nasi. Tertangkap dan dibantu, lalu menjadi manusia berguna.

Aku mahu penonton teruja. Mahu penonton berfikir. Mahu membuai emosi. Mencari erti kehidupan. Kehidupan sendiri dan orang lain.

250 patah perkataan tak termasuk tajuk.