Cabaran 8: Kalau Aku Jadi PM
Tulis satu entri bertajuk “Kalau Aku Jadi PM”.

Kalau Aku Jadi PM

Kalau aku jadi Perdana Menteri. Menteri yang mempunyai kuasa mutlak. Kuasa untuk mengubah segala-galanya. Tutur kata seorang PM yang pasti diangguk dan jarang digeleng. Ini yang aku buat jika aku PM.

Akademi Pentadbir
Aku mahu satu akademi yang melatih bakal pentadbir negara. Akademi unggul yang menjadi impian setiap warganegara. Calon terpilih dari rebung yang bijak akal dan tinggi akhlak. Bukan setakat mengenal teori, yang penting ialah latihan amali. Beri projek saiz kecil atau sederhana dan minta pantau sehingga selesai. Sesiapa yang gagal akan ditendang keluar. Sesiapa yang ditendang akan dikenal sepanjang hayat sebagai manusia yang gagal. Gagal memilih intan. Masa depan suram. Sesiapa yang kekal akan dilantik menjadi pentadbir. Lulus cemerlang. Masa depan gemilang.

Bawah Meja
Aku mahu setiap pentadbir isytihar harta. Harta mereka dan suku sakat mereka. Biar rakyat tahu kenapa mereka kaya. Mengapa mereka berharta. Penerima rasuah akan dihukum mati mandatori. Mati harta. Muflis selama-lamanya termasuk suku sakat mereka. Biar muka mereka dipamer di ruang akhbar agar segenap rakyat jelata mencemuh mengata. Sadis? Kejam lagi mereka yang diberi amanah tapi memutarbelitkannya.

Bijak Geliga
Aku mahu pentadbir yang bijak bergeliga. Bukan setakat petah berbicara. Pandai bermain kata dengan isu yang jenaka. Aku mahu pentadbir prihatin yang tahu masalah rakyat jelata. Tahu masalah dan juga tahu jalan penyelesaiannya.

Cergas Maklumat
Aku mahu pentadbir aku telus dalam menyebarkan maklumat. Hebat memanfaatkan segala wadah yang ada. Rakyat bebas mengadu dengan mudah. Telefon lekas diangkat. Emel pantas dijawab. SMS cepat dibalas. Semua sedia berkhidmat dengan pantas, lekas dan cergas.

Cepat Bertindak
Aku mahu pentadbir aku pantas bergerak. Turun padang meninjau. Marah mereka yang lalai. Buang mereka yang bebal. Puji mereka yang rajin dan bijak bekerja. Aku mahu pentadbir yang lebih cepat bertindak dari wartawan yang sentiasa dahagakan cerita untuk dilagakan di media massa.

Pantau Periksa
Aku mahu pentadbir aku liar mata memantau memeriksa. Meluku kepala anak buah yang lalai dan leka. Setiap projek perlu siap seperti yang dirancang. Tiada lagi alasan semuanya kehendak Tuhan. Tarikh siap di atas kertas perlu sama atau lebih awal dari tarikh siap di atas tanah.

Cantas Malas
Aku mahu pentadbir aku bekerja seperti mereka takut hilang jawatan. Takut gaji dipotong. Takut elaun ditarik. Takut pangkat dibeku. Takut kerana tak bekerja. Takut yang memberi kelebihan kepada rakyat.

Polis Pentadbir
Aku mahu pentadbir aku bekerja keras. Aku perlu periksa kerja mereka. Aku perlu ada polis yang menyamar. Polis aku umpama rakyat biasa tapi ada kuasa. Polis aku akan melaporkan dan aku akan membuat tindakan mutlak.

Kekal Beriman
Aku mahu pentadbir yang kekal beribadah dan nyata beriman. Muslim, kenal sejadah. Kenal imam, bilal dan tok siak. Bukan kenal artis yang galak. Bukan Muslim, sama beribadat mengikut ajaran masing-masing. Tahu hukum hakam. Semua ajaran agama jelas memperincikan tentang kebaikan. Belajar dan amalkan.

450 patah perkataan tak termasuk tajuk.

Cabaran 7: Wawancara

Blogger-blogger hebat sering diwawancara oleh blogger-blogger lain. Malah, ada yang pernah diwawancara oleh akhbar dan majalah.

Bersama Mystrique

Kenapa pakai nama Mystrique? Dari mana asal-usul nama itu?
Asal nama itu ialah Myst III. Lahir tahun 1993. Nama yang didaftarkan untuk setiap permainan video yang disertai. Bukan terilham dari permainan video alam fantasi, Myst. Niat sekadar untuk kekal misteri, tersembunyi dan tidak dikenali. Nama itu berevolusi menjadi Mystrique. Bukan juga terilham dari manusia mutan yang boleh berubah bentuk, Mystique. Nama itu kekal menjadi wakil aku untuk menyelongkar dunia digital ini.

Bila mula berblog? Macam mana boleh terjerumus ke dunia blog?
Seingat aku, detik permulaan jemari aku menari ialah pada hari ketiga tarikh lahir aku iaitu tepat 11 April 2004. Ketika itu blog aku hanya di Geocities. Seterusnya aku menerima tawaran istimewa dari UstazMalaya yang memberikan hosting percuma selama setahun. Aku belajar merekacipta laman blog menggunakan skrip yang diberi percuma. Macam-macam aku cuba. Selanjutnya aku membeli domain www.mystrique.com. Pelaburan blog aku yang pertama. Sehingga kini, usia blog aku sudah lebih dua tahun hayatnya.

Aku terjerumus kerana aku suka baca kisah manusia. Aku berterima kasih kepada blog MJ, Sera dan Pak Adib. Itu kandungan entri aku yang pertama. Aku suka apa yang mereka tulis dan aku juga ingin jadi seperti mereka. Sejak itu jemari aku mula menari.

Blog macam mana yang kamu suka baca?
Jujur. Aku suka penulisan yang jujur. Walaupun pahit tetapi yang penting adalah kejujuran. Aku kurang baca blog yang menceritakan aktiviti seharian. Tetapi aku akan tertarik untuk baca sekiranya ia menceritakan apa hikmah yang terkandung di sebalik aktiviti seharian itu. Aku suka baca cerita sebegitu kerana aku boleh belajar sesuatu.

Aku suka blog lucu. Aku baca kerana membuat orang lain ketawa adalah suatu yang sangat sukar berbanding membuat orang lain menangis. Aku suka ketawa.

Aku suka blog ilmu. Aku baca blog yang memberikan aku ilmu. Aku lagi suka sekiranya ilmu itu berkaitan dengan apa yang aku minat. Aku sukakan seni lipat kertas, aku baca blog berkenaan Origami. Aku sukakan seni merekacipta, aku baca blog sebegitu. Ada pelbagai ilmu selagi ada manusia yang ingin belajar mengenainya.

Blog macam mana yang kamu tak suka baca?
Aku suka kalau sekali baca aku sudah tertawan. Selalunya pasti mengenai apa yang aku minat. Aku kurang mengikuti dunia hiburan, aku tak singgah blog sebegitu. Aku kurang mengikuti dunia politik, aku tak berhenti di blog sebegitu. Membuat pilihan adalah hak mutlak setiap individu.

Apakah blog-blog ini ada peranan dalam masyarakat?
Blog ada peranan yang sangat besar. Blog menjadi wadah untuk masyarakat meluahkan isi hati mereka. Blog menjadi wakil untuk mereka terus bersuara. Meskipun ketika ini nampak tidak begitu ketara, tetapi akan ada suatu hari nanti blog akan menjadi wadah terpenting untuk masyarakat berbicara dan ketua masyarakat mendengar.

Beberapa perubahan telah dilakukan dalam JURING musim ini. Apakah cadangan perubahan dan komen-komen lain yang ingin kamu kongsikan untuk program JURING musim depan?

Maaf, aku kurang mengikuti perkembangan Juring terdahulu. Tetapi aku amat menyokong usaha ini. Apa yang aku boleh berikan sebagai cadangan ialah;

#1. Pra-Juring.
Setiap permohonan perlu melalui proses penapisan bagi mengekalkan mutu akhir. Aku tahu, proses ini sememangnya sukar jika dilihat dari segi realistiknya tetapi adakalanya kita perlu berkorban dalam mendapatkan yang terbaik.

#2. Pendedahan.
Juring adalah sesuatu yang baru. Pendedahan media massa pasti menaikkan namanya dan sekaligus menarik minat lebih ramai penulis blog untuk turut serta. Aku juga ingin melihat pertandingan ini disertai oleh golongan bukan Bumiputera.

#3. Penajaan.
Pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan kerapkali mengundang hasil karya yang berkualiti. Penajaan khususnya dari pihak yang terlibat secara langsung dengan pembangunan Bahasa Melayu dilihat dapat membantu ke arah meningkatkan lagi kualiti Juring ini.

Kalau kamu sepohon pokok, kamu nak jadi pokok apa? Mengapa?
Pokok Kelapa. Aku berasal dari kampung. Membesar di perdu kelapa. Melihat kegunaan pokok kelapa. Sepohon kelapa yang berbakti puluhan tahun lamanya dengan setiap bahagian ada gunanya. Aku ingin hidup sebagai manusia seperti sepohon kelapa. Aku ingin manusia lain menggunakan apa yang aku ada. Guna ilmu yang aku ada untuk kebaikan manusia.

Cabaran 6: Tengok Wayang

Ulasan filem juga antara bentuk entri yang popular di blog. Pilih satu filem tempatan tahun 2005. Tulis pendapat kamu tentang filem itu.

Mulakan entri dengan sekeping gambar yang berkaitan.

Batu Buruk

Pra Juring - Rock

ROCK! Zaman seluar sendat. Rambut kilat ber’Poken’. Skaf emak ikat di lutut. Jalan lompat gagak. Kasut gemuk berderap. Itu zaman kegemilangan aku. Jangan nak tipu kalau nak buat cerita zaman aku.

Aku akui. Aku bukan kaki wayang. Aku bukan pencinta filem Melayu. Aku tak suka menonton aksi pelakon Melayu di layar perak. Aku lebih suka menonton aksi pelakon Melayu di layar nyata. Pelakon opera hidup.

Aku tulis kerana tugasan. Aku tulis gaya aku. Apa yang aku lihat, dengar dan rasa. Aku tonton Rock bukan di panggung. Bukan dari VCD cap tengkorak. Tapi VCD, Video-Copy-Download. Aku bukan pencinta filem Melayu.

Aku berusaha menonton dalam terpaksa. Aku rasa aku akan banyak mengutuk dari memuji. Maafkan aku.

Rimba Bara, sebuah kumpulan muzik Rock dari Trong, Taiping. Bercita-cita tinggi menjadi terkenal separas Search. Seluruh penduduk Trong bertutur di dalam bahasa yang sama dengan penduduk Kuala Lumpur kecuali dua orang penumpang bas yang agak kolot penampilannya. Rockers Trong tak berbahasa ‘gua’ dan ‘lu’.

Jijo, mentor utama yang sering menaikkan semangat ahli kumpulan. Aku suka dialognya yang mempunyai akhiran bunyi ‘hann’ yang disengaukan.

Zack, gitaris utama. Aset terpenting bagi sesebuah kumpulan Rock. Berlatih bersama burung Belatuk yang saiz badannya sering berubah-ubah. Simbolik watak Melayu Pandir yang hanya tahu menurut tanpa menilai.

Kathy, watak gadis belia teman wanita Zack. Lagu Keunggulan Cinta menjadi irama tema percintaan mereka. Aku terpaksa menonton persembahan Rimba Bara menyampaikan lagu ini sehingga habis.

Amy, penyanyi utama bernada tinggi. Amy adalah Rockers Glam-Rock unggul, tapi sayang wataknya mati dipertengahan jalan. Black, pemain dram yang sangat sengau dan berfungsi hanya untuk mencuit pinggang penonton yang bosan.

Pertandingan dibuat di Dewan Hokkien yang sarat bertanglung. Satu lagi unsur simbolik yang aku rasa ramai yang tak peduli apakah maksud disebaliknya.

Ringkas cerita, Zack perlu membuat keputusan antara minat dan kerjaya. Ayah tak suka sehingga tongkat kayu patah tiga. Awek hampir berubah hati. Ada unsur suka, ada unsur duka. Aku tak suka filem Melayu.

Rock ada suntikan filem Forrest Gump dan Rockstar. Aku suka keduanya. Garapan naratif ringkas dan pantas. Penceritaan mudah, lakonan mantap. Emosi penonton dibuai antara suka dan duka. Aku suka filem sebegitu. Aku tak suka filem Melayu.

Aku benci filem ringan yang diberatkan. Mainan simbolik yang terlampau. Siapa sasaran penonton? Siapa yang bakal menonton? Mereka yang ingin berfikir atau mereka yang enggan berfikir.

Aku lebih suka penceritaan mudah yang menyorot kegemilangan zaman rock kapak kangkang 20 tahun yang lalu. Aku mahu sebuah cerita yang menyusur kehidupan seorang Rockers yang sering dipandang hina masyarakat. Kutu haprak yang akhirnya mampu berdiri megah.

Aku impikan sebuah cerita yang mampu membuka mata dan minda bahawa apa sahaja yang diidamkan pasti menjadi kenyataan sekiranya tekun berusaha tanpa mengenal erti jemu. Aku ada cerita itu kerana aku pernah menjadi pelakonnya.

450 patah perkataan tak termasuk tajuk.

Cabaran 5: Empat Bilion
RM4.4 bilion. Jumlah penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak.

Kerajaan, melalui Biro Pengaduan Awam, meminta pandangan rakyat, ke mana subsidi kerajaan paling sesuai disalurkan:

a) tambah baik kemudahan persekolahan
b) tambah baik kemudahan kesihatan
c) tambah baik perkhidmatan pengangkutan awam
d) tambah baik kualiti bekalan air
e) kegunaan kebajikan awam

Pilih SATU sektor di atas, yang kamu rasa paling kritikal untuk ditambahbaik, dan hujahkan kenapa.

Anjakan Generasi

4 bilion. 4 ribu juta. 4 diikuti dengan 9 angka kosong dibelakangnya. Satu angka yang teramat besar. Satu angka yang mustahil untuk dimiliki oleh setiap orang kecuali orang ini dan mungkin dua tiga lagi rakyat Malaysia. Satu angka besar yang perlu dibelanjakan secara jujur dan telus.

Aku memilih untuk meningkatkan kemudahan pendidikan. Aku mahu taraf sekolah dinaikkan. Aku mahu tenaga pengajar yang berkebolehan. Aku mahu generasi pelapis aku lebih bijak dari generasi sebelumnya. Aku mahu generasi berilmu yang berakhlak tinggi.

Kerajaan perlu menyalurkan subsidi dalam sektor pendidikan sekiranya ingin melihat generasi mendatang lebih bijak dan berjati diri tinggi. Hasilnya, generasi ini mampu mencari jalan mengatasi masalah-masalah lain seperti pencemaran alam sekitar, masalah pengangkutan awam, bekalan air dan sebagainya. Walaupun dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang, usaha ini merupakan kesinambungan dalam meneruskan pembangunan negara mencapai wawasannya.

Subsidi perlu diberikan mengikut keperluan utama. Dana yang disalurkan perlu memberi keutamaan kepada sekolah luar bandar. Sekolah yang ketinggalan. Sekolah bandar mewah. Banyak sumber wang. Ibu bapa pelajar kaya raya, sekolah ada penaja. Aku mahu bantuan diagihkan ke sekolah luar bandar bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan prasarana yang setara.

Sistem pendidikan juga perlu dikaji semula secara keseluruhannya bagi memenuhi permintaan pasaran terkini. Pendidikan perlu berteraskan keperluan pelajar untuk meneruskan cita-cita dan seterusnya menjadi pemimpin dalam wilayahnya. Teras utama pendidikan perlu selaras dengan wawasan negara yang berpandukan kepada permintaan tenaga kerja terkini.

Para pemikir ternama yang mampu melihat corak masa depan perlu dikumpulkan untuk berbincang bersama dan membuat keputusan tepat mengenai sistem pendidikan yang perlu diterapkan kepada para pelajar. Hasil perbincangan dan keputusan akhir perlu disampaikan secara jelas nyata dan difahami sepenuhnya kepada setiap pihak yang terlibat.

Tenaga pengajar yang sedia ada perlu diberi pendedahan lebih meluas berkenaan kaedah terbaik dalam menyampaikan ilmu. Subsidi berbentuk bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi pasti akan membawa perubahan ketara dari segi corak pengajaran sekaligus mengangkat aras pemikiran yang bakal digarap kepada pelajar kelak.

Pengajaran berbantukan elemen multimedia juga mampu merangsang pancaindera pelajar dan sekaligus meningkatkan tahap penguasaan ilmu. Penggunaan peralatan sebegini perlu diperbanyakkan dan tenaga pengajar juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran ini. Segala kemudahan ini memerlukan satu sistem pengurusan tersusun dan ditadbir secara profesional. Ini adalah untuk menjamin kemudahan yang diberi akan digunakan secara sepenuhnya.

Kemajuan teknologi komunikasi memungkinkan perhubungan pelbagai hala antara sekolah, pelajar dan guru. Kemudahan ini membuka satu saluran bicara yang pasti akan meningkatkan penguasaan ilmu. Projek SchoolNet yang sedang giat dibangunkan akan membuka laluan penting ke arah memantapkan lagi saluran komunikasi ini. Langkah berikutnya ialah mencari wadah untuk komunikasi sebegini digunakan sepenuhnya oleh semua pihak.

Kerjasama semua pihak diperlukan dalam usaha melahirkan generasi yang diidamkan. Perancangan rapi menjamin hasil yang diingini. Wang hanya membantu. Apa yang lebih penting ialah perubahan sikap dan minda.

450 patah perkataan tak termasuk tajuk.

Cabaran 4 : Untukmu Ibu
Tulis satu entri menyentuh emosi, berkisar kasih sayang/ pengorbanan ibu kamu.

Kasih Tercalar

Putar jarum jam arah melawan. Tahun 2001. Hari konvokesyen. Aku berjaya menamatkan pengajian. Aku layak dianugerahkan segulung ijazah. Aku berjaya bangun dan berlari semula walaupun pernah jatuh tersungkur.

Pagi. Aku gembira melihat riak ceria penuh kesyukuran yang terpancar di wajah insan yang melahirkan dan membesarkan aku. Aku juga bersyukur kerana diberi kelebihan mempunyai keluarga yang sempurna.

Tengahari. Aku terima pelbagai hadiah dari rakan-rakan. Jambangan bunga satu kemestian. Aku juga menerima cenderahati berbentuk bekas kecil dari tanah liat. Comel dan istimewa.

Aku terima hadiah paling istimewa. Ciuman di pipi tanda kesyukuran yang tak terhingga. Ciuman kasih dari emak tercinta. Ciuman yang menandakan aku telah melangsaikan sekelumit hama segala penat lelah emak dan abah membesarkan aku.

Petang. Aku keluar makan beramai-ramai. Meraikan kejayaan mendapatkan sekeping sijil sebagai lesen mencari rezeki di kemudian hari. Makan dan bergembira.

Malam. Aku pulang ke hotel. Aku lihat ayah sudah tidur. Letih dan kurang sihat. Emak belum tidur. Asyik menonton TV. Mungkin juga menunggu kepulangan aku.

Aku dahaga. Aku ingin minum. Aku terpandang sesuatu. Aku lihat ada uncang teh di dalam hadiah bekas tanah liat yang aku dapat siang tadi. Warna teh mencemar hingga ke dasar bekas. Aku terkedu. Lantas aku bertanya angkara siapa. Emak membisu. Mengambil uncang teh perlahan-lahan lalu dibuang. Aku rasa panas. Aku ketap bibir rapat-rapat. Emak dapat merasakan kepanasan itu.

Putar jarum jam arah mengikut. Tahun 2006. Hari ini. Sehingga hari ini aku masih terasa. Aku kesal. Aku sesal. Sebak terbuku di dada. Kejang tersesak di kalbu. Aku masih mampu mengingat peristiwa hitam tercalar itu. Aku gagal memadamkan dari ruang ingatan. Aku gagal menghapuskan dari rusuk hati. Aku bersalah yang teramat sangat.

Apalah nilai sebuah bekas tanah liat jika dibanding kasih emak sepanjang hayat. Apalah nilai sebuah bekas tanah liat pemberian teman jika dibanding curahan cinta emak sepenuh hati. Apalah nilai sebuah bekas tanah liat jika dibanding kesetiaan emak membesarkan aku.

Sudah berkali aku memohon maaf. Aku dapat rasa emak memaafkan aku. Tapi aku takut. Aku juga bakal menjadi abah. Bakal ada emak yang menjaga anak aku. Aku mungkin bakal menerima nasib yang sama. Emak, maafkanlah anakmu ini. Ampunilah anakmu yang derhaka ini.

350 patah perkataan tak termasuk tajuk.