Aku paling malas nak melipat baju. Melipat baju adalah satu seni yang sangat rumit. Seni yang memerlukan penelitian dan kerajinan. Seni yang aku tak ada bakat. Kalau adapun tak pernah digilap. Setakat nak basuh baju tu memang takde masalah. Aku boleh buat semua proses tu.
Kumpul baju kotor, OK. Masuk dalam mesin basuh, OK. Masuk air dalam mesin basuh, OK. Masuk serbuk pencuci, OK. Tunggu mesin basuh cuci sampai habis, OK. Angkat baju yang berat & basah masuk tempat spinner, OK. Tunggu baju berpusing ligat dalam spinner, OK. Angkat balik baju masuk mesin basuh, OK. Masuk air bersih dalam mesin basuh, OK. Tunggu mesin basuh bilas sampai bersih, OK. Angkat lagi sekali baju yang berat & basah masuk tempat spinner, OK. Tunggu lagi sekali kasi spinner berpusing ligat, OK. Angkat baju separa kering, masuk dalam baldi, OK. Jemur baju kat penyidai, OK. Angkat baju kering kat penyidai, OK. Semua OK. Cuma satu jek aku KO. Lipat baju. Aku malas lipat baju.
Nasib baik aku rajin bukak Internet. Rajin buat carian. Rajin mencari maklumat. Rajin menggoogle. Rajin untuk menjadi malas. Aku jumpak macam-macam. Aku jumpak dua benda yang memang selama ni aku cari. Aku terserempak panduan ni masa pegi memboingboing.
Cara melipat cadar ada getah berkedut-kedut.

Aku ada cadar yang ada getah berkedut-kedut sebab nak pegang tilam. Dulu cadar aku tak ada getah tu, so aku guna pin (orang Australia yang tinggal kat Utara cakap kersang). So cadar aku terdakap kemas kat tilam. Jadi aku bangun pagi tak payah la susah nak tarik balik cadar yang bersepah-sepah. Awal-awal lagi aku dah cakap aku ni malas.
Sekarang aku guna cadar baru, cadar yang ada getah berkedut-kedut. Berkerut-kerut dahi aku nak lipat cadar ada getah berkedut-kedut. Selalunya aku perosok masuk almari. Tapi kini tidak lagi. Aku dah boleh berlatih melipat cadar ada getah berkedut-kedut ni. Sebab dah ada panduan melipat. Dahi aku tak akan berkerut-kerut lagi. Nak tau macam mana? Meh klik kat sini. Ni aku buat fail pdf kot-kot site tu dah tak wujud lagi ke. Ambik kat sini.
Pelipat Baju Ajaib

Yang ni lagi aku suka. Ada orang Peranchis cipta pelipat baju paling sempoi. Sempoi dan murah. Guna kotak kertas saja. Tak payah habis duit bayar gaji pembantu rumah dari Indonesia atau Sri Langka. Panduan dalam video. Senang sangat. Kucing rumah anda pun kalau kena gaya latihan yang intensif mesti boleh buat jugak. Jom belajar kat sini.
Lipat baju cara Ninja
Aku baru jumpa maklumat ni. Ini lagi bagus! Ciptaan orang Jepun. Negara Ninja. Pantas dan mudah. Tapi aku rasa sesuai untuk baju T sahaja. Baju kemeja mungkin kena butangkan dulu. Heh, malas aku. Baik aku gantung saja.
Ada penerangan bergambar. Kalau nak belajar cara lipat baju cara Ninja, klik sini. Kalau nak muat turun versi pdf, klik sini.
Lepas ni mesti senang aku nak lipat baju. Nanti aku cari cara paling mudah untuk satu lagi kerja paling susah. Paling susah dari melipat baju. Paling susah dari segala kerja-kerja rumah. Kerja menyeterika baju. Seterika baju adalah kerja yang paling susah seantero kerja-kerja di rumah. Aku harap ada orang cipta cara paling mudah untuk seterika baju. Kerja ni aku tak ada pilihan lain. Sama ada beli baju mahal yang susah nak berkedut-kedut atau pakai t shirt, atau pakai orang gaji. Selain dari orang gaji Indonesia atau Sri Langka, pilihan lain ialah ada orang rumah. Hehe…
Terkini! Mesin basuh+kering+seterika
Ada orang cipta mesin ni. Aku kena kerja kuat, simpan duit beli mesin ajaib ini. Harap-harap aku boleh beli nanti. Tapi kenapa mesin tu tak boleh lipat baju juga. Cis!
