Aku pergi kerja naik kuda. Lalu Stesen LRT Putra Taman Melati. Ada simpang. Lalu depan Kolej Tar. Ada simpang. Lalu Jalan Genting-Klang. Ada banyak simpang. Lalu Jalan Pahang. Juga ada banyak simpang. Lalu Jalan Kuching. Ada simpang. Jalan lagi. Lagi, lagi dan lagi. Sampailah ke tempat kerja.
Selamat sampai setelah melalui jalan dan merentasi simpang. Sepanjang perjalanan aku pasti guna lampu padam nyala. Mesti guna. Aku guna mengikut keperluan. Menghebah kepada pengguna ke mana aku ingin jalan. Ke mana arah aku ingin hala. Tapi ada juga mereka yang berpenyakit. Penyakit jiwa kronik. Gagal memahami fungsi lampu padam nyala. Ini aku senaraikan penyakit-penyakit mereka.
Cerebral Hyper-Banganginus Syndrome
Sindrom ini merupakan tahap terakhir dan paling bahaya. Pesakit ini dilaporkan sering memberikan kejutan serta mencetuskan perasaan ingin menyumpah-nyumpah yang mendalam kepada mereka yang berada di sekitar pesakit ini. Tidak kurang juga kes yang melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa di atas tindakan melulu dari pesakit yang menderita penyakit sebegini.
Tanda-tanda pesakit kronik sindrom ini ialah menukar lorong secara tiba-tiba tanpa sebarang isyarat sama ada tangan atau lampu padam nyala. Pesakit ini juga dikesan sering keluar atau masuk dari simpang ikut suka hati mereka seperti jalan raya tersebut telah dibuat oleh tujuh belas keturunan mereka yang silam.
Laporan turut menunjukkan bahawa pesakit sebegini turut menderita penyakit hati yang agak serius iaitu sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk membeli kereta tetapi teramat-amat kedekut untuk menyalakan lampu padam nyala meskipun lampu tersebut didatangkan bersama dengan kereta tersebut. Pakar berpendapat pesakit ini merasakan penggunaan lampu padam nyala akan memendekkan hayat kereta serta mengurangkan tekanan angin tayar.
Mengikut kajian pakar neurotik, pesakit ini lebih yakin dengan isyarat secara gerak hati atau lebih dikenali dengan nama sainsnya “ikutsukaakukaujeleskenapa”. Setakat ini belum ada lagi kajian lanjut yang dibuat bagi mengesahkan bahawa isyarat secara gerak hati ini mampu dikesan oleh para pengguna umum yang lain.
Sehingga kini tiada sebarang ubat yang boleh diberi kecuali terapi drastik yang sekiranya diberi peluang boleh dibuat secara pantas. Antara terapi yang disyorkan ialah menampar dahi pesakit secara bertubi-tubi sebanyak 25 kali tanpa belas kasihan. Rawatan ini dijamin dapat mengembalikan ingatan dan memberikan pengajaran kekal kepada pesakit mengenai peri pentingnya penggunaan lampu padam nyala atau isyarat lain yang bersesuaian. Terdapat juga terapi lain yang lebih sadis tetapi kesemuanya terpulang kepada tahap kepanasan aliran darah yang lahir dari tindakan yang disebabkan oleh pesakit.
Cerebral Slow-Spasticallistic Syndrome
Sindrom ini pula hampir menyamai sindrom pertama. Kes sebegini seringkali dilaporkan dan turut meningkatkan statistik kemalangan jalan raya serta statistik pesakit darah tinggi & lemah jantung yang menggunakan jalan raya.
Tanda-tanda awal pesakit ini ialah memberikan isyarat pada peringkat akhir sebelum menukar lorong atau keluar masuk simpang. Peringkat akhir ini membawa maksud pesakit telahpun membelok dan serentak dengan pemasangan lampu padam nyala dan sekaligus memberikan kejutan kepada mereka yang berada di sekitar pesakit. Tindakan sebegini seringkali membuahkan kata-kata yang kurang enak untuk diperdengarkan kepada umum.
Seperti penyakit yang lain, tiada ubat yang sesuai untuk diberi melainkan sesi terapi drastik yang didakwa boleh membantu mengurangkan penderitaan pesakit yang telah lama menderita penyakit ini. Antara teknik terapi yang disyorkan ialah sesi regangan otot pipi dan rahang dengan pantulan padu tapak tangan yang dibuat berselang kiri dan kanan secara terus-menerus tanpa henti selama 2 minit 30 saat. Menurut pakar, sesi terapi ini dapat memberikan kesan berpanjangan yang secara langsung dapat memberi ingatan kekal kepada pesakit.
Cerebral Diffuse-Sewelliusis Syndrome
Sindrom ini jarang dikesan kesnya namun terdapat juga laporan yang diterima menunjukkan masih ada pesakit yang menderita penyakit ini. Kesan dari penyakit ini tidak begitu serius. Kadar kemalangan akibat tindakan pesakit ini jugak kecil.
Tanda-tanda pesakit yang menderita penyakit ini ialah gagal untuk menentukan arah tujuan yang tepat. Seringkali pesakit menghalakan kenderaan ke arah yang berlawanan dengan isyarat yang diberi. Hasil kajian pakar neurotik membuat kesimpulan bahawa pesakit ini mungkin mengalami kekeliruan dalaman hingga menyebabkan aliran isyarat di dalam otaknya terselirat dan menghasilkan keputusan yang salah dalam proses penentuan arah.
Seperti juga penyakit kronik tadi, pesakit yang menderita penyakit ini tiada sebarang ubat khusus yang boleh diberi melainkan terapi drastik. Antara rawatan terapi yang disyorkan oleh pakar ialah memberi tunjuk ajar semula kepada pesakit mengenai arah dan isyarat yang bersesuaian. Caranya ialah dengan menarik telinga pesakit sekuat-kuatnya mengikut arah yang diajar, iaitu sebagai contoh untuk mengajar arah ke kiri, tarik telinga kiri pesakit dengan sekuat hati tetapi pastikan jangan sampai putus. Pakar mendakwa cara sebegini akan memberikan ingatan kekal mengenai kaedah mengesan, mengenalpasti dan memberikan tindakbalas yang tepat mengikut arah yang ingin dituju.
Nota : Penyakit di atas adalah rekaan semata-mata. Tidak ada kena-mengena sama ada yang masih hidup, masih mati atau sedang sakit. Penulis tidak akan bertanggungjawab sekiranya ada individu yang bertindak mengikut rawatan yang disyorkan, bak kata pepatah orang-orang tua, “Sendiri Mau Ingat”.
Moral cerita ialah gunalah akal. Gunalah kemudahan yang ada. Gunalah apa yang telah diciptakan. Semuanya demi kebahagian diri sendiri, sanak-saudara, masyarakat dan negara.
