Category: Kembara

Dulu aku berdebar-debar. Terketar-ketar. Mengigil-gigil. Itu dulu. Tapi sekarang tidak lagi. Aku sudah lalui semuanya. Aku sudah tempuhi semuanya. Aku sudah selesaikan semuanya. Aku sudah berjaya.

Seharian aku berkampung di situ. Dari jam 8.30 pagi. Berdiri, duduk dan menunggu. Terus menunggu dalam debar. Mengambil ujian satu persatu. Dan menunggu. Tunggu dan tunggu. Aku menunggu dengan sabar. Seperti tunggul.

Ujian pertama aku perlu mendaki bukit. Nasib aku kurang baik. Tiba giliran aku seekor Kancil tua datang mengadap. Bukan kuda yang gagah perkasa. Seekor Kancil lama yang kalau disembelih pasti liat dagingnya. Aku perlu berjaga-jaga. Aku perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Aku harap Kancil tua ini dapat bertahan.

Aku panjat bukit. Kali pertama tak sampai. Mula berpeluh. Aku undur balik. Kena marah sebab tak minta izin. “Maaf tok, anak cucu buat salah”. Suara hati aku memujuk. Aku undur sampai ke tempat mula. Aku panjat bukit lagi sekali. Tepat. Tegak kaki kuda kembar di garisan kuning. Lega. Letak kuda kembar di petak letak kuda kembar tak begitu susah. Aku sudah hafal semua teknik-tekniknya. Aku buat dengan mudah. Lega. Buat pusingan tiga titik. Pantas. Aku tak hadapi sebarang masalah. Lega.

Ujian bahagian kedua selesai. Aku lulus walaupun sedikit terkucil kerana terpaksa memanjat bukit sebanyak dua kali. Tapi aku masih lega. Aku diminta menandatangan borang dan menulis nama. Tangan aku gigil. Tulisan aku bertukar. Aku menulis seperti doktor. Tulisan cakar ayam. Tangan aku sukar dikawal. Hati aku ketawa bersama degupan jantung yang bergerak pantas.

Aku diminta tunggu untuk membuat ujian jalanraya. Aku lihat ramai orang. Ramai orang muda. Mungkin pelajar UIA. Aku cuba berbual. “Ramai orang hari ni?”. “Hari ni lebih kurang 280 orang ambil ujian”. “Wah! Sampai bila aku kena tunggu?”. Aku tunggu dan tunggu.

Cuaca panas terik, kering berjerebu. Aku pergi beli air. Dahaga terlampau. Panas terlampau. Perit terlampau. Perut memanggil nasi. Aku sabarkan. Aku perlu mendengar nombor aku dipanggil. Kalau terlepas nanti lagi lewat. Aku perlu sentiasa mendengar dengan teliti. Aku tunggu dan tunggu.

Jam sudah hampir pukul satu. Waktu rehat. Ada pegawai memberitahu. “Sila datang semula pukul 2 petang”. Aku rasa sempat aku keluar cari makanan. Aku menuju ke arah tempat aku letak kuda tadi. Kuda menunggu dengan setia. Aku lihat tempat menguji mata kurang orang. Aku menyelit. Aku buat ujian mata. Selesai. Lega. Aku tak jadi keluar cari makanan. Aku pergi beli air di tempat tadi. Beli karipap dan roti. Aku makan dengan lahap. Lapar terlampau. Aku solat Zohor. Aku tunggu dan tunggu.

Jam dua. Nombor aku dipanggil. Aku disusun mengikut kumpulan oleh penguji. Aku nombor tiga. Aku perlu tunggu orang sebelumnya selesai diuji. Aku tunggu dalam debar. Orang pertama pergi dan selamat kembali dengan senyuman lebar. Dia sudah lega. Orang kedua masuk. Duduk dan mula. Aku perhati dengan teliti. Aku nampak dia masuk gear. Aku rasa dia tekan minyak. Kuda kembar tenggelam. Enjin mati. Dia mula lagi sekali. Tekan minyak, tenggelam, enjin mati. Mula lagi. Tekan minyak, tenggelam, enjin mati. Dia pandang penguji. Penguji berkata sesuatu. Dia tutup muka. Aku rasa aku tahu apa sebabnya. Dia tak lepaskan brek tangan. Tiga kali dia tak lepaskan brek tangan. Rupanya ada orang yang lebih berdebar dari aku. Dia gagal.

Giliran aku tiba. Aku masuk. Penguji sebut nama aku. Aku sambut mesra. “Ya, saya”. Aku ingat kembali apa yang diajar. Aku selaraskan kerusi. Aku uji cermin pandang belakang, cermin sisi, lampu isyarat dan pengelap cermin. Aku pasang talipinggang keledar. Aku hidupkan enjin. Kuda kembar melompat. Aku melatah. “Laa, ada gear ke?”. Penguji diam. Aku lupa. Aku sepatutnya menguji kedudukan gear. Memastikannya berada dalam kedudukan bebas. Lantaklah. Aku toleh ke kiri dan cakap sambil cuba senyum. “Saya mula?”. Penguji setuju.

Kuda kembar mula bergerak. Aku pusing stereng. Ada bunyi pelik. Krek, krek, krek. Aku melatah lagi. “Erk, bunyi apa tu?”. Penguji diam. Aku pun diam juga. Aku teruskan membawa kuda kembar dengan perlahan. Kawal agar jangan melepasi garisan tengah jalan. Aku pandu dengan teliti. Tiba di simpang aku berhenti. Bebas gear dan tarik brek tangan. Aku mula kembali. Aku terus dan terus. Penguji diam. Aku diam. Penguji beri arah jalan. Aku ikut. Tiba di simpang aku berhenti. Bebas gear dan tarik brek tangan. Aku kembali ke tempat mula. Penguji menulis. Aku diminta menandatangan. Aku nampak ruang lulus ditanda. Aku lega. Lega terlampau.

Kuda Kembar  - Lulus dan Pandu

Aku kini tidak perlu risau lagi. Aku tak perlu ambil apa-apa lesen lagi. Aku tak perlu tunggu dan tunggu lagi. Tiada lagi penantian yang mendebarkan. Aku sudah ditanggung halal memandu kuda kembar di jalan raya.