Category: Duit

Aku banyak guna karan. Karan untuk hiburan. Karan untuk makan. Karan untuk kesihatan. Karan untuk banyak hal. Karan merupakan antara unsur terpenting untuk meneruskan kehidupan di zaman ini.

Bayangkan hidup anda selepas ini jika tiada karan. Balik kerja, tengok dinding. Tengok lukisan bergambar. Tiada pergerakan. Terhiburkah anda? Hujung minggu basuh baju dengan tangan. Kembang kuku dan kecut jari. Sanggupkan anda? Tiap hari perlu ke pasar membeli ikan segar. Itu rutin setiap hari kecuali diet anda hanyalah ikan masin dan pekasam. Seronokkah anda? Tepuk dada tanya perut.

Penggunaan karan melibatkan kos. Kos yang perlu dibayar untuk menggunakannya. Bayar kepada penyedia kemudahan karan. Setakat ini memang tak ada masalah untuk aku membayar kos karan. Aku hargai tugas mereka yang menyediakan kemudahan karan untuk aku. Mereka memudahkan kehidupan aku.

Aku perlu tahu kos karan untuk setiap barang yang diguna atau bakal diguna. Mungkin perkara kecil bagi sesetengah orang tetapi tidak bagi aku. Aku perlu tahu itu semua. Itu akan membantu untuk aku membuat pilihan yang lebih tepat. Pilihan yang bersesuaian dengan keperluan semasa. Aku perlu ada ilmu untuk mengira kos karan.

Aku menggoogle lagi. Pagi-pagi lagi aku sudah memanggil Encik Google. Dia lantas menjawab. Dia beri aku sumber ilmu. Ini ilmu yang aku dapat. Cara mengira kos karan. Nilai yang perlu diketahui ialah watt dan berapa jam digunakan dalam sehari.

Watt x Penggunaan sehari (jam) = Jumlah penggunaan Kilowatt per jam sehari.

Darab dengan berapa hari diguna dalam sebulan untuk mendapatkan jumlah penggunaan bulanan atau berapa hari diguna dalam setahun untuk mendapatkan jumlah penggunaan tahunan. Sila rujuk link yang diberi untuk contoh dan penerangan lanjut. Seterusnya, aku cuma perlu rujuk dengan caj yang dikenakan oleh penyedia karan aku. Rujuk dan banding dan kira. Semudah itu. Mudah yang aku rasa jarang dibuat oleh orang.

Nilai Watt juga adalah tidak tetap tetapi bergantung kepada jenis barangan karan yang digunakan. Radio misalnya, semakin kuat dipasang, semakin tinggi penggunaan karan.

Peti sejuk merupakan pengguna karan terbesar di rumah. Meskipun peti sejuk dipasang secara kekal 24 jam tetapi penggunaan karannya adalah mengikut kitaran yang bergantung kepada beberapa faktor iaitu lokasi, suhu persekitaran serta penebatan. Kedudukan peti sejuk adalah penting, lebih sejuk lebih bagus. Kalau letak tepi dapur gas pun bagus jugak. Bagus untuk mengkayakan penyedia karan anda.

Suhu persekitaran penting untuk mengurangkan tenaga yang diperlukan oleh peti sejuk untuk melaksanakan proses penyejukan. Keadaan peti sejuk juga perlu diteliti. Penebatan yang baik menjamin kualiti penyejukan terbaik serta mengurangkan kos karan dalam jangka masa panjang.

Teknologi terkini pembuatan peti sejuk generasi baru yang menggunakan tenaga secara lebih efisyen juga lebih menjimatkan. Justeru itu adalah lebih baik untuk menukar peti sejuk jika anak anda yang lahir semasa membelinya sudah sama tinggi. Apa yang penting ialah membuat pilihan membeli berdasarkan keperluan dan bukannya kenafsuan.

Mulai sekarang aku akan belajar menghargai karan. Belajar menghargai sesuatu yang sangat bernilai tetapi sering dipandang sebagai sesuatu yang remeh. Karan tidak seharusnya dibazirkan. Pembaziran yang pastinya akan merugikan.