Beberapa ratus purnama yang silam. Aku masih sudi berseluar pendek. Dan berbaju belang-belang berlengan kontot. Hingus separa kering terpalit berkeping-keping.
Aku tonton peti bergambar yang berbunyi. Masih hitam putih. Tanpa warna. Aku suka rancangan bercorak aksi. Aksi masa hadapan. Aksi pesawat yang terbang meredah ruang angkasa yang hitam kecuali bintik-bintik putih sang bintang.
Aku suka drama angkasa lepas. Robot, laser dan pesawat terbang. Aku suka kerana itu semua jadi modal mimpi tidur. Impian untuk memandu pesawat terbang yang penuh dengan butang dan lampu. Walaupun peti gambar bersuara itu hanya hitam putih, dalam mimpi aku semuanya berwarna kerana aku mampu untuk mewarnakannya sendiri.
Battlestar Gallactica. Millenium Falcon. X-Wing, Y-Wing, B-Wing. Semua aku suka. Namun, aku lebih terliur dengan pesawat Darth Vader TIE Fighter. Sangat molek dan seksi. Alangkah indahnya masa hadapan andai dapat meneroka angkasa raya dengan pelbagai kecanggihan teknologi yang dicipta.
Hari ini. Sekarang. Semua itu jadi debu. Khayalan kekal sebagai mimpi. Manusia tetap dengan rancangan yang entah apa-apa. Berusaha untuk menjatuhkan darah daging sendiri. Jutaan dilaburkan untuk tujuan membunuh manusia lain. Nafsu menjadi kunci membuka pintu ego yang sangat besar. Akal diguna bukan untuk bergerak ke arah jalan yang sungguh jijik. Bukan untuk mengangkat martabat manusia diperingkat mulia. Semuanya terarah untuk memuaskan nafsu yang bermacam-macam. Berhibur atas penderitaan orang lain.
Aku kini malas untuk bermimpi lagi. Darth Vader sudah menang.

boleh tertido aku tengok star wars