ALOR STAR – Kenaikan tiket bas ekspres eksekutif akibat kenaikan harga tambang dari Alor Star ke Kuala Lumpur antara RM30 kepada RM40 sehala tidak menjadi kesalahan.
Ini kerana harga siling baginya masih di bawah RM82.50 seperti yang ditetapkan kerajaan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Jaffar Mohamad berkata, dengan penjelasan ini, pihaknya berharap ia dapat menyelesaikan kekeliruan penumpang bas ekspres yang sering membuat aduan tentang kenaikan harga tambang oleh syarikat bas ekspres baru-baru ini.
Bagaimanapun menurutnya, penumpang boleh membuat aduan sekiranya mendapati harga tiket bagi bas bukan eksekutif memuatkan 40 tempat duduk dijual melebihi RM30.05 sehala bagi perjalanan dari Alor Star ke Kuala Lumpur.
“Harga siling perjalanan sehala dari sini (Alor Star) ke Kuala Lumpur yang melibatkan bas 40 tempat duduk masih di bawah RM30.05 manakala bas yang menyediakan 30 tempat duduk (eksekutif) pula ialah RM82.50 ke bawah.
“JPJ mendapati penumpang di Terminal Bas Shahab Perdana terkeliru dengan harga tambang memandangkan mereka tidak mengetahui harga siling tambang bas yang ditetapkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” katanya pada sidang media di pejabat JPJ di sini semalam.
Jaffar berkata, syarikat bas ekspres masih boleh menaikkan tambang bagi bas eksekutif kerana tambang yang dikenakan sebelum ini di bawah harga siling yang ditetapkan.
Jelasnya lagi, bagi harga siling bas eksekutif untuk perjalanan sehala dari Alor Star ke Johor Bahru ialah di bawah RM137.70 dan bas ekspres bukan eksekutif pula di bawah RM53.95 seorang.
“Harga tambang yang baru itu selalunya sering ditetapkan pada musim perayaan dan cuti sekolah,” ujarnya.
Begitupun, beliau memberitahu, syarikat bas ekspres juga dinasihatkan supaya tidak menaikkan harga tambang bas sesuka hati kerana JPJ sentiasa memantau harga tambang bas pada setiap masa.
kutip dari : jiwang
