Aku ada satu teori. Aku cipta kerana aku rasa ada sesuatu yang tak kurang kena. Aku rasa ada suatu persepakatan sulit yang menyebabkan terjadinya masalah ini. Ini satu teori konspirasi sahaja.
Teori ini berkaitan dengan perkhidmatan atas talian yang membolehkan penyambungan ke Internet di Malaysia. Talian ini dimonopoli oleh satu syarikat gergasi yang lahir dari zaman telefon berdering hinggalah zaman telefon bernada. Syarikat yang hidup bersenang-lenang tanpa perlu fikir tentang persaingan dari sesiapa. Syarikat yang berkuasa. Kuasa adalah segala-galanya.
Aku dapat rasa bahawa syarikat ini diberi arahan pihak atasan agar menghadkan laluan. Arahan dari siapa aku mahu biarkan kamu semua sendiri teka. Arahan yang mudah. Buka longkang sahaja walaupun sungai sudah tersedia. Hadkan bilangan pengguna. Siapa yang ingin berenang di dalam longkang perlu membayar harga yang tinggi. Harga tinggi yang sepatutnya boleh berenang bebas di dalam sungai yang luas. Tapi itu arahan yang diberi dan perlu patuhi. Para perenang hanya mampu mengangguk kerana tiada kuasa.
Ini satu fakta. Malaysia adalah negara membangun yang pesat. Tetapi sangat lambat bangunnya untuk perkhidmatan talian ke Internet. Ibarat seorang pesakit gout yang sangat kronik bersusah payah sambil berkerut menahan perit tatkala gesekan kasar pepasir sagat menyilu bebola tempurung lututnya. Lambat yang amat. Sudah tahun 2008. Lapan tahun menempuh alaf tapi perkhidmatan talian masih di takuk lama. Aku sangat marah kerana perkembangan talian negara aku masih berada di takuk lama. Rasa geram terlampau hinggakan aku sanggup untuk membuat takik baru di tengkuk orang yang menyebabkan talian masih berada di takuk lama.
Kenapa ini semua terjadi? Aku berpegang kepada teori konspirasi aku. Zaman moden merupakan zaman kegemilangan media. Zaman maklumat sebagai kuasa utama. Kuasa sebenar terletak di tangan tok dalang yang memiliki pentas utama yang menjadi tatapan rakyat jelata. Rakyat yang hidup dengan minda yang tersalut dengan cerita mengikut sandiwara yang sudah sedia skripnya. Rakyat menjadi bebal kerana saban hari dipaksa menelan maklumat dari satu pentas sahaja.
Aku yakin permainan kotor ini berpunca dari pihak yang ingin terus mengekalkan pentas yang satu itu untuk tatapan rakyat jelata.“IPTV? Lengahkan!”. “Broadband? Cukuplah 1mb tu, tak habis pakai pun”. “Internet adalah penyebab budaya negatif!”. “3G? HSDP? Wimax? Ahhh…”.
Bayangkan, andai kata talian sebesar longkang itu dinaik taraf menjadi sungai. Harga pula dapat dikurangkan sehingga ke tahap mampu-milik . Sudah pasti lebih banyak pentas boleh ditonton. Lebih banyak maklumat boleh dihadam. Lebih banyak ilmu boleh diamal. Senario yang sangat indah namun masih kekal sebagai satu khayalan semata-mata.
Implikasi yang terhasil jika perkara ini benar-benar terjadi amatlah besar. Media perdana yang menguasai sebilangan besar rakyat jelata akan tidak lagi relevan. TV akan merudum ratingnya kerana semakin kurang mata yang sudi menonton drama berselang iklan setiap lima minit. Maklumat akan lebih bebas melata dan tidak lagi bias seperti dacing berat sebelah. Rakyat mampu memilih berdasarkan maklumat yang dikutip dari pentas yang pelbagai. Aku yakin perubahan sebegini bakal melahirkan rakyat Malaysia yang lebih berkualiti dan secara tidak langsung mampu meninggikan modal insan sebagaimana yang sering terluah dari mulut seseorang yang ingin kekal sebagai ketua negara.
