Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan. (Surah Yaa Siin, Ayat 83)
Ayat terakhir itu berkait dengan satu peristiwa. Kisah tragis yang membuatkan aku jatuh. Terduduk diam. Lemah tak bermaya. Sesungguhnya itu adalah ujian terbesar yang pernah aku alami. Aku hampir gagal mengawal emosi. Hampir gila.
Namun aku masih ada sedikit kekuatan yang tersisa. Aku masih mampu mengerah sedikit kudrat untuk berdiri semula. Aku perlu bergerak, berjalan dan berlari semula. Aku tahu, tiada guna untuk terus menyepi mengulit duka. Aku pasti setiap kejadian itu pasti ada hikmah yang telah ditentukan olehNya. Aku amat pasti.
Aku juga faham. Ujian ini diberi ketika aku mampu menerimanya. Ini amat aku faham. Ini adalah takdir dari yang Maha Esa. Sudah menjadi satu rukun yang enam perkara. Semua ini adalah asas keimanan seorang pengikut ajarannya. Agama yang menjadikan seorang manusia itu adalah manusia.
Aku juga mengerti. Aku kini kehilangan seorang yang amat aku kasihi. Jasad zahir tiada lagi. Namun aku masih kekal sebagai waris yang azali. Putus hubungan dunia tapi masih mampu memberi khidmat demi kebahagiaan ukhrawi.
Aku berazam untuk memberi sedekah. Sebagai hadiah atas segala jerih dan payah, membesarkan aku tanpa lelah. Aku sedang berusaha untuk menghafaz Surah Yaa Siin untuk dihadiahkan buat arwah abah. Semoga hadiah ikhlasku ini menjadi peneman abah di alam barzakh.
Aku amat berterima kasih kerana dipertemukan dengan laman ini yang memungkinkan untuk aku mencetak Surah Yaa Siin. Aku telah menyiapkan satu projek yang aku rasa dapat membantu ke arah memudahkan proses hafazan. Dapatkan maklumat lanjut bagaimana untuk menghafaz Surah Yaa Siin cara cepat dan mudah dengan memuat turun fail berkenaan di sini - Cara Mudah & Cepat Hafaz Surah Yaa Siin.
Projek peribadi ini bukanlah bermotifkan keuntungan. Justeru itu diharap dapat disebarkan kepada semua kenalan dan saudara seagama. Semoga usaha ini mendapat sokongan semua dan diberkati olehNya.