Aku selalu dapat emel spam. Ratus-ratus, ribu-ribu. Spam yang asal usul perkataannya adalah dari kategori najis berat mughalazah. Maka dengan secara tidak langsungnya, dalam dunia elektronik pun tetap terpalit sebagai sesuatu yang menjengkelkan. Aku geli dengan spam sebenar dan aku geli dengan spam elektronik.
Mengikut pengalaman aku, sebahagian spam ini berasal dari generasi akhir kepada para presiden Afrika yang meninggal dunia tapi mempunyai pewaris yang sedang putus urat saraf medula oblongata dalam mencari jalan untuk mendapatkan semula harta pusaka.
Sebahagian lagi adalah berkenaan ubat kuat yang datang dari pelbagai benua. Setiap pemilik ubat dengan bersungguh-sungguh hatinya memaklumkan bahawa ubat mereka adalah yang paling unggul. Barat terkenal dengan cialis dan viagra yang berkonsepkan pil cepat ditelan sedap dilayan. Ada pelbagai lagi jenama-jenama lain. Tajuk-tajuk sebegitu sangat rajin berkunjung ke kotak emal aku dan sangat pantas jugalah menjadi tetamu kotak emel sampah aku.
Hari ini aku ditakdirkan untuk secara tidak sengajanya menyelongkar kotak emel sampah itu dan seterusnya meneliti isi kandungannya. Dalam beribu senarai yang terpamer, aku terkedu tatkala mata tertumpu ke satu tajuk emel;
Nak hebat di ranjang, gunalah minyak dhob
Wah, sungguh hebat. Aku kagum sebab melayu boleh. Aku tak nafikan bahawa manusia berbangsa Melayu ini mampu malah sejak lahir aku didesingkan di telinga dengan pelbagai halwa yang menyatakan bahawa ini kuat, ini bagus dan ini hebat. Semuanya berkisar berkenaan satu perkara. Berkenaan yang itu.
Industri ini tidak akan mati selagi ada manusia yang diciptakan bersama nafsu. Industri ini seharusnya memberikan pulangan jutaan ringgit kerana masih lagi mampu bertahan sehingga ke hari ini. Ada pelbagai jenama. Ada pelbagai cerita. Ada pelbagai cara. Sebut saja yang mana suka, yang penting ongkosnya perlu disedia.
Aku pernah bercerita bersama sahabat. Aku ingin cadangkan satu idea. Idea yang mampu memberikan hasil yang lumayan. Aku ingin mencadangkan produk terbaru di pasaran. Produk pembangkit ghairah. Produk penghangat malam. Produk prestasi mantap. Aku namakan produk ini Le Lalang.
Bahan asas utamanya ialah akar lalang. Siapa peduli akar itu benar-benar berkhasiat atau tidak, yang penting promosinya perlu menggemparkan. Gambar iklannya juga perlu ada seni menggoda. Tak perlu model perawan yang cantik menawan. Tak perlu semua itu. Pakcik tua yang kaki menggigil lutut menggeletar sekalipun sudah cukup.
Aku pasti, satu Malaya akan heboh dengan jenama Le Lalang, maka dengan ajaibnya seluruh kawasan semak samun yang sebelum ini berselimutkan lalang akan cerah terang benderang. Satu Malaya orang cari akar lalang. Cari dengan penuh sungguh-sungguh. Rajin perkasa secara luar biasa. Itulah penangan Le Lalang.
Aku yakin dengan produk ini. Akar lalang memang ada khasiat tersendiri. Kalau kurang, apa susah. Tambah saja bahan kimia sebagai inti. Salah bancuh ramai yang mati. Tapi apa peduli, wang ringgit masuk berpeti-peti. Inikan Malaya, apa tuan sudah lupa diri?
Ada sesiapa nak beli formula rahsia ini?