Cabaran 8: Kalau Aku Jadi PM
Tulis satu entri bertajuk “Kalau Aku Jadi PM”.
Kalau Aku Jadi PM
Kalau aku jadi Perdana Menteri. Menteri yang mempunyai kuasa mutlak. Kuasa untuk mengubah segala-galanya. Tutur kata seorang PM yang pasti diangguk dan jarang digeleng. Ini yang aku buat jika aku PM.
Akademi Pentadbir
Aku mahu satu akademi yang melatih bakal pentadbir negara. Akademi unggul yang menjadi impian setiap warganegara. Calon terpilih dari rebung yang bijak akal dan tinggi akhlak. Bukan setakat mengenal teori, yang penting ialah latihan amali. Beri projek saiz kecil atau sederhana dan minta pantau sehingga selesai. Sesiapa yang gagal akan ditendang keluar. Sesiapa yang ditendang akan dikenal sepanjang hayat sebagai manusia yang gagal. Gagal memilih intan. Masa depan suram. Sesiapa yang kekal akan dilantik menjadi pentadbir. Lulus cemerlang. Masa depan gemilang.
Bawah Meja
Aku mahu setiap pentadbir isytihar harta. Harta mereka dan suku sakat mereka. Biar rakyat tahu kenapa mereka kaya. Mengapa mereka berharta. Penerima rasuah akan dihukum mati mandatori. Mati harta. Muflis selama-lamanya termasuk suku sakat mereka. Biar muka mereka dipamer di ruang akhbar agar segenap rakyat jelata mencemuh mengata. Sadis? Kejam lagi mereka yang diberi amanah tapi memutarbelitkannya.
Bijak Geliga
Aku mahu pentadbir yang bijak bergeliga. Bukan setakat petah berbicara. Pandai bermain kata dengan isu yang jenaka. Aku mahu pentadbir prihatin yang tahu masalah rakyat jelata. Tahu masalah dan juga tahu jalan penyelesaiannya.
Cergas Maklumat
Aku mahu pentadbir aku telus dalam menyebarkan maklumat. Hebat memanfaatkan segala wadah yang ada. Rakyat bebas mengadu dengan mudah. Telefon lekas diangkat. Emel pantas dijawab. SMS cepat dibalas. Semua sedia berkhidmat dengan pantas, lekas dan cergas.
Cepat Bertindak
Aku mahu pentadbir aku pantas bergerak. Turun padang meninjau. Marah mereka yang lalai. Buang mereka yang bebal. Puji mereka yang rajin dan bijak bekerja. Aku mahu pentadbir yang lebih cepat bertindak dari wartawan yang sentiasa dahagakan cerita untuk dilagakan di media massa.
Pantau Periksa
Aku mahu pentadbir aku liar mata memantau memeriksa. Meluku kepala anak buah yang lalai dan leka. Setiap projek perlu siap seperti yang dirancang. Tiada lagi alasan semuanya kehendak Tuhan. Tarikh siap di atas kertas perlu sama atau lebih awal dari tarikh siap di atas tanah.
Cantas Malas
Aku mahu pentadbir aku bekerja seperti mereka takut hilang jawatan. Takut gaji dipotong. Takut elaun ditarik. Takut pangkat dibeku. Takut kerana tak bekerja. Takut yang memberi kelebihan kepada rakyat.
Polis Pentadbir
Aku mahu pentadbir aku bekerja keras. Aku perlu periksa kerja mereka. Aku perlu ada polis yang menyamar. Polis aku umpama rakyat biasa tapi ada kuasa. Polis aku akan melaporkan dan aku akan membuat tindakan mutlak.
Kekal Beriman
Aku mahu pentadbir yang kekal beribadah dan nyata beriman. Muslim, kenal sejadah. Kenal imam, bilal dan tok siak. Bukan kenal artis yang galak. Bukan Muslim, sama beribadat mengikut ajaran masing-masing. Tahu hukum hakam. Semua ajaran agama jelas memperincikan tentang kebaikan. Belajar dan amalkan.
450 patah perkataan tak termasuk tajuk.

kalau ko jadik calon, aku undi. huhuhu..
mystrique :
Terima kasih, terima kasih.
Dah boleh mula belajar berjalan dan bersalam macam YB sekarang nih. :)
ku juga akan undi. pilihanraya bila ko akan bertanding?
mystrique :
Pilihanraya paling dekat berkemungkinan pada akhir tahun ini atau akhir tahun depan. Saingan saya, yang juga pasangan saya merupakan calon terhebat. Parti atas pagar. Kadang-kadang jadi penyokong, kadang-kadang boleh jadi pembangkang. Saya cuma mampu mentadbir sebuah negara super-kecil. Negara paling akrab pertalian antara rakyatnya. Itu sahaja yang saya mampu setakat ini. Sekadar menjadi Perdana Menteri sebuah famili.
Tajuknya mesti Kalau AKu Jadi PM (ayat wasit) :).
Usaha baik di luar gelanggang.
Susunan ni ada piroriti ke terabur.. Saje tanya..
mystrique :
Dah tukar tajuk, heheh… Nasib baik baru Pra-Juring kalau tidak mesti dah kena sembur. :P
Susunan tak ikut keutamaan, sebab semuanya merupakan keutamaan yang utama. :)
saya sokong 100 % ..pasti saya akan pangkah anda besor-besor kt kertas undi menyatakan tanda sokongan..;-P
mystrique :
Undi jangan tak undi. Pangkah jangan tak pangkah. :)
alhamdulillah kalau PM Malaysia macam ni.Yang penting Part kenal tok siak tu , bukan kenal artis..:)
Boleh ke buat semua ini bila dah jadi PM ? Jangan type saje..hehehe
hah! gagal menyiapkan “tugasan 9: mat rempit” pada masa yang ditetapkan. kamu dijuring! heh heh.
sedang mencubit pipiku sendiri…