Kembara bersama kroni UKM ini telah berusia hampir 3 tahun namun baru hari ini pengalaman itu akan dihikayatkan.
Aku terima panggilan dari kroni untuk membuat kembara di Pulau Tioman. Aku setuju dan terus ambil cuti hari Jumaat. Aku siapkan kerja cepat-cepat. Balik kerja awal-awal. Aku kemaskan barang. Tak banyak. Janji ada seluar mandi. Sunburn protection? Hoh! Tak payah.
Lokasi pertama ialah Tampin, Negeri Sembilan. Rumah ketua rombongan. Segala perbincangan dibuat di situ. Urusan pembayaran juga dibuat di situ. Makan malam yang sangat sedap juga dibedal di situ. Setelah hampir menjengah tengah malam, semua ahli rombongan bergerak menuju jeti ke Pulau Tioman iaitu Mersing yang terletak di Johor.
Perjalanan malam melalui jalan yang dipagari ladang-ladang kelapa sawit agak menyeramkan. Kehadiran kabus tebal dengan tahap penglihatan yang sangat kurang menyebabkan pemandu terpaksa menjegilkan mata semasa memandu. Para penumpang tidak dibenarkan tidur kalau tak mahu tidur untuk selama-lamanya. Tugas penumpang ialah menghiburkan pemandu. Sesekali berhenti rehat, menyedut asap untuk si perokok dan menyedut kabus untuk bukan perokok.
Sampai di jeti Mersing sebelum subuh. Masih gelap. Tiada perkhidmatan feri lagi. Feri pertama jam 9.00 pagi. Pusing-pusing cari kedai makan. Bedal roti canai dan milo panas. Kenyang untuk sementara waktu. Dalam kepala sudah terasa ingin terjun tiruk di air masin yang sangat lutsinar.
Ada dua jenis kenderaan air untuk dipilih. Bot laju atau bot besar. Bot laju cepat sampai, bot besar hampir 2 jam baru sampai. Bot laju mahal, bot besar tak sangat. Kami naik bot besar. Aku naik sampai ke bumbung. Bosan dengan suasana dalam bot. Semua tidur. Aku panjat atas bumbung bot, lepak dan bersembang dengan kelindan bot. Aku bertanya banyak perkara. Kelindan bot juga ramah. Cerita pelbagai rahsia. Rahsia kehidupan orang pulau.
Sampai di jeti Tioman, kami disambut oleh penyelia Taman Laut Tioman. Rakan aku PTD. Dia yang aturkan rumah rehat pegawai kerajaan. Rumah dua tingkat yang ada penghawa dingin dan berpeti sejuk. Seronok.
Aktiviti pertama ialah aksi terjun tiruk seperti yang dibayangkan tadi. Jeti hanya di depan rumah. Tak perlu berjalan jauh. Sewa jaket keselamatan dan alat snorkel hanya RM 10. Boleh simpan selagi belum pulang. Terjunan pertama dari atas jeti, aku terlepas alat snorkel. Tercabut tatkala kepala mencecah air. Perlahan-lahan tenggelam ke dasar laut yang aku rasa mencecah 10 meter dalamnya. Aku dapat snorkel ganti. Terjun lagi.
Puas melihat ikan. Warna garang. Warna lembut. Warna pelangi. Besar. Sederhana. Kecil. Lemah gemalai. Tangkas melincah. Semuanya ada. Sungguh indah ciptaan Allah. Aku bertahmid memuji kebesaranNya.

Tapi tak banyak batu karang yang hidup. Banyak yang mati. Tak sebanyak semasa aku kembara di Pulau Perhentian. Mungkin ada sebabnya. Aku tak pasti apa sebabnya.
Sebelah malamnya acara membakar. Membakar ayam. Selepas bakar kami makan. Sedap. Lazat dan menyelerakan. Ditambah dengan hembusan manja bayu laut China Selatan yang menggoda.
Pagi esoknya aku bangun awal. Kroni lain masih tidur. Letih barangkali. Aku bangun awal kerana aku ingin merakamkan suasana pagi di sebuah pulau indah. Pagi yang mendung. Mahu hujan. Aku rakam ketika titik-titik hujan mula menimpa. Aku sempat berehat di pondok Taman Laut Tioman ketika ribut pagi mula menggila.
Setelah hujan reda aku pulang. Kroni lain sedang bersiap. Hari ini agendanya ialah menjelajah sekitar pulau dengan menaiki bot. Kami ke lokasi yang sering menjadi tumpuan pelancong asing. Lokasi yang sering menjadi kawasan snorkeling. Lebih banyak ikan, dan mungkin ada karang. Aku sudah lupa apa nama sebenar kawasan itu, kalau tak Kampung Tekek mesti Kampung Salang.
Aku terjun di situ. Bersnorkel dengan gembira. Jumpa si pari biru. Bukan pari-pari. Ikan pari yang berwarna kebiru-biruan. Karangnya juga masih ada walaupun agak jauh ke dalam air. Aku rasa mungkin kawasan ini lebih sesuai untuk aktiviti scuba diving.
Kami singgah makan tengah hari di restoran yang ada. Sedap sebab badan penat. Bedal semahu-mahunya. Tambah air berkali-kali. Kenyang sekenyangnya. Kami bertolak balik. Sampai dipertengahan jalan, masih ada yang ingin bermain air. Kami minta supir bot untuk berhenti. Kami terjun dan bermain-main lagi. Ketika matahari tegak di kepala, itulah waktu air pasang. Ombak meninggi. Menghanyutkan. Nasib baik semua memakai jaket keselamatan. Tapi ada juga yang sudah lenguh lutut, lemah sendi siku dan tangan. Tak berdaya untuk berenang ke arah bot. Aku terpaksa membantu mereka yang letih. Sampai dalam bot semua tersadai.
Kami selamat sampai di rumah. Mandi air tawar untuk menghilangkan rasa melekit air masin. Aku semakin hitam. Kesan sunburn yang merengsakan. Tapi aku gembira. Seronok tak terhingga.
Agenda petang ialah meronda ke hujung pulau. Ada hotel mewah di situ. Kawasan matahari terbenam paling indah. Kami hanya berjalan kaki. Sewa basikal terlalu mahal. Meronda kampung macam polis pencen. Aku lihat pulau ini ada kenderaan. Ada motor, kereta dan van. Mungkin kerana terlalu besar. Tidak seperti Pulau Perhentian. Bebas dari asap monoksid yang mencemar.
Kami sampai di Berjaya Tioman Beach Resort. Masuk tanpa disoal. Berlagak seperti orang kaya. Lepak di tepi pantai yang memutih. Ditemani orang putih. Berjemur merah seperti udang karah kena goreng.
Kami menunggu sang mentari masuk beradu. Menanti mega merah muncul di ufuk. Bertaut dengan biru langit. Bercampur warna. Berbaur rona. Menari bersama awan mencorak panorama memukau. Sangat indah. Aku bertahmid lagi.

Kami pulang menaiki van. Sewa khas. Murah sahaja kerana mereka ingin ke sana juga. Sampai di rumah, kami mandi dan bersiap untuk membakar lagi sekali. Menu makan malam ialah ayam bakar. BBQ. Lagi sekali digoda bayu laut China Selatan.
Keesokannya kami bersiap untuk pulang. Berkemas. Bersedia untuk kembali meneruskan rutin kerja yang kadang kalanya amat membosankan dan memberikan tekanan. Kami singgah di Taman Laut Tioman. Berjumpa penyelia dan menyerahkan kembali kunci rumah. Berterima kasih di atas layanan mesra yang diberikan. Sangat berterima kasih. Kami berlegar di Muzium Taman Laut Tioman. Melihat variasi keindahan alam laut. Variasi ciptaanNya.
Kami menunggu feri untuk ke Mersing. Sempat bergambar lagi. Terasa sayu untuk meninggalkan pulau indah ini. Sayu kerana terpaksa tinggal di pulau lain yang lebih besar. Lebih rimas. Lebih sibuk.
Feri sampai. Kami naik. Feri singgah di semua jeti. Mengambil penumpang sehingga penuh. Kami duduk dengan sopan di tempat duduk dalam perut feri. Membosankan. Aku keluar. Lepak di belakang feri. Melihat deruan air yang membuak. Mencipta jaluran yang panjang. Meninggalkan jejak. Aku hanya duduk melihat kehijauan, kebiruan dan kehitaman air laut China Selatan. Merah dibakar panahan mentari yang tegak tepat di atas kepala.
Aku dapat rasakan paras air hanya beberapa inci sahaja lagi untuk masuk ke dalam bot kerana muatan yang sarat. Lebih-lebih lagi apabila feri membelok. Aku yakin dengan kepakaran supir feri ini.
Sampai dipertengahan jalan, feri jadi perlahan. Semua orang memanjangkan leher. Aku lihat supir melompat. Ada percikan air bersama wap tipis keluar. Aku kaget seketika. Supir cakap, “Enjin panas sangat”. Feri bergerak perlahan-lahan. Aku lega.
Sampai di jeti Mersing, kami terus ke tempat letak kereta. Ambil kereta dan meronda pekan Mersing. Beli cenderamata dan terus bergerak pulang menuju ke ibukota.
Aku rasa ini antara kembara yang paling berjaya. Menarik dan tidak membosankan. Bebas dan santai. Sekarang, ramai yang sudah ada keluarga. Mungkin sukar untuk menikmati kembara sebegini lagi, tapi itu bukan perkara mustahil. Ada usaha, ada jalannya.
Nak tengok galeri Kembara Tioman? Klik sini.

Weh sonok aaa tgk gambaq tu….nampak keceriaan korang..it seems like u guys really enjoyed the vacation….
nice pictures… :)
Teringat zaman 90an dulu – Kembara kat Pulau Redang. masa tu resort pun x de lagi. Sayangnya x dapat share sb gambar yang ada cuma dalam memori…
teringat masa bertugas di tioman, 2 minggu berada disana. boleh dikatakan setiap bulan ke sana. hampir segenap pulau tioman dah pusing. menarik dan teruja. selepas tu dalam bulan 6 tahun 2005 ke pulau redang dan mungkin dengan izin Allah pada mei 2006 akan ke pulau perhentian….. love 2 travel!!!!!
wah best nyerr..
bln 6 nti kteorg pn nk ke sne gk, dlm perncangan..
arap2 jd.. nk gk rse ape yg org laen da rse.. best nyerr, x sabar..