Hari ini aku termusykil. Tertanya-tanya tentang sesuatu. Sesuatu yang sangat penting di zaman ini. Sesuatu yang sangat bernilai. Sama nilai dengan emas. Emas hitam. Emas yang melekat dan melekit.
Aku tanya Encik Google. Aku tanya mengenai tarikh lahir kereta yang pertama. Aku cari dan aku jumpa. Aku jumpa di sini. Kereta pertama yang menggunakan enjin pembakaran dalaman (internal combustion engine) telah dibuat pada tahun 1806. Tepat 200 tahun yang lampau. Dua ratus tahun! Suatu jangka masa yang sangat lama untuk suatu peristiwa dalam sejarah peradaban manusia.
Sudah 200 tahun manusia menggunakan enjin sebegini. Sudah 200 tahun enjin sebegini beroperasi. Sudah 200 tahun manusia membakar emas hitam untuk bergerak. Sudah 200 tahun. Sampai sekarang, proses tersebut masih berterusan. Aku keliru. Aku geram. Aku rasa ditipu.
Mengapa aku masih perlu menggunakan emas hitam ini sehingga sekarang. Kenapa manusia masih lagi bergantung kepada emas hitam ini? Kenapa kenderaan masih memerlukan tenaga ini untuk terus bergerak? Kenapa? Tiada alternatif lain? Mustahil. Sangat mustahil.
Aku rakyat Malaysia. Negara paling bertuah. Aman dan selesa. Sinar matahari diberi percuma setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun. Nikmat yang melimpah ruah. Aku tahu dan yakin itu sumber tenaga. Sumber tenaga yang murah. Tapi kenapa tiada syarikat yang mengambil inisiatif untuk mencari jalan mengkaji tenaga alternatif ini? Mungkin ada yang terlena. Bangunlah dan baca ini.
Aku rakyat Malaysia. Negara paling subur. Antara pengeluar minyak sawit terkemuka dunia. Tapi kenapa kajian untuk menggunakan minyak sawit sebagai biodiesel terlalu perlahan sehinggakan aku rasa lebih pantas aku menaiki kura-kura di atas jalan. Mungkin ada juga yang masih tidur. Bangunlah, gosok mata dan baca ini.
Ada banyak lagi sumber tenaga alternatif yang lain. Apa yang perlu ialah buka mata. Bangun dari tidur. Ada bermacam-macam tenaga untuk diteroka. Ada angin, air, api dan tanah. Cuba semuanya. Cuba atas nama mencari ilmu. Cuba atas nama penciptaNya. Pasti berjaya.
Aku ingin melihat negara aku maju. Melaburkan wang menaja sektor penyelidikan dan pembangunan untuk mencipta tenaga alternatif yang mampu membantu manusia sejagat. Mengubah sejarah peradaban manusia. Melaburkan wang ke tempat yang sepatutnya. Bukan lawatan rasmi sambil belajar melihat wanita seksi bergelek, atau menutup piramid dengan bendera negara aku. Itu semua karut. Itu semua bahan asas untuk dicarut.
Aku mahu negara aku maju atas acuannya sendiri. Maju atas daya usahanya tersendiri. Maju dengan caranya sendiri. Bukannya menjadi negara yang mengaku maju tapi sebenarnya dungu. Aku perlukan negara yang maju, sebenar-benarnya maju. Maju dalam segala segi. Zahir dan batin.
Aku mahu negara aku maju. Bukan negara Pak Pandir atau Pak Kaduk yang hanya tahu menurut. Hanya tahu mengikut. Gah di mata dan mulut, tapi semuanya merupakan aksi badut.
Aku mahu negara aku mempunyai loji memproses biodiesel terbesar di dunia. Aku mahu negara aku mempunyai kilang pengeluar sel photovoltaic terbesar di dunia. Aku mahu negara aku dikenali sebagai pusat penyelidikan tenaga alternatif terbaik dunia. Aku mahu semua ini. Aku mahukan sekarang. Bukan lagi 200 tahun.
Teori konspirasi. Aku terhidu konspirasi jahat. Muslihat syarikat gergasi yang cuba mengabui mata pengguna bahawa penggunaan tenaga alternatif hanya akan menjahanamkan kenderaan. Kereta akan perlahan, tak bagus dan kurang berkesan. Tenaga elektrik akan merugikan. Tenaga solar akan hilang bila mendung. Tenaga angin hanya bermusim. Kami tahu semua jawapan. Jangan guna sumber tenaga ini. Gunalah emas hitam kami. Emas hitam ini akan membahagiakan anda sepanjang masa.
Aku dapat rasakan bahawa ada organisasi yang cuba menghapuskan hasil kajian tenaga alternatif kerana ia bakal menutup periuk nasi mereka. Aku juga dapat rasakan ada yang sudah dibeli. Menurut dan mengikut. Bayar dan hentikan kajian.
Gunalah emas hitam kami. Jangan gunakan bahan lain. Emas hitam ini akan menjadi penyelamat kamu. Penyelamat dayus yang secara perlahan-lahan akan meragut nyawa anak-anak dan cucu-cucu kamu. Penyelamat unggul. Gunalah emas hitam kami.
Aku akan bangun setiap pagi. Menghirup udara segar tanpa kehadiran zarah karbon monoksid yang memualkan. Mendengar nyanyian unggas melagukan irama indah memuji kecantikan mentari pagi. Melihat kehijauan alam dengan gemerlapan embun pagi yang berkilau. Aku akan tunggu saat itu. Aku tak perlu tunggu lama.
